KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Skuad hoki dalam dewan lelaki negara membuka kempen Piala Dunia 2025 dengan keputusan buruk, selepas dikalahkan Jerman 12-4 pada aksi pertama peringkat Kumpulan B di Porec, Croatia hari ini.
Pemain Jerman Nicolas Proske dan Ben Hasbach muncul wira buat skuad juara dunia tiga kali itu, apabila masing-masing berhasil meledak empat jaringan untuk membantu pasukan memperoleh keseluruhan 12 jaringan, sekali gus memperoleh tiga mata pada aksi yang berlangsung di Pusat Sukan Zatika.
Jerman di bawah kendalian Jan Rabente itu turut memperoleh empat lagi jaringan menerusi Paul Dosch, Alec von Schwerin, Anton Boeckel dan Max Silanoglu.
Keempat-empat jaringan Malaysia di bawah kendalian Rodzhanizam Mat Radzi pula masing-masing dihasilkan menerusi Abdul Khaliq Hamirin pada minit keempat dan minit ke-25, Muhammad Firdaus Omar pada minit ke-11 dan Muhammad Najmi Farizal Jazlan pada minit ke-23.
Sementara itu, dalam satu lagi aksi Kumpulan B, menyaksikan Iran menewaskan Argentina 5-3.
Keputusan itu menyaksikan Jerman kini berada di tangga teratas carta Kumpulan B dengan tiga mata diikuti Iran, manakala Argentina dan Malaysia masing-masing di kedudukan ketiga dan keempat tanpa sebarang mata.
Malaysia selepas ini dijadual berdepan Argentina pada esok dan Iran (6 Feb).
Sementara itu, Rodzhanizam mengakui beberapa kesalahan yang dilakukan anak buahnya menjadi asbab skuad negara menangung kekalahan pada hari ini.
"Walaupun tewas dengan jaringan besar kepada pasukan Jerman, pemain telah beraksi dengan baik. Namun, beberapa kesilapan kecil memberi peluang kepada pasukan lawan untuk menjaringkan gol.
"Jika diperhatikan, bukan bemakna kita tidak mampu bermain dengan baik, tetapi kesilapan mudah dilakukan terutamanya di bahagian pertahanan," katanya menerusi hantaran video yang dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini.
-- BERNAMA