EKONOMI

OPEC+ Tambah 5.8 Juta Tong Minyak Mentah Sehari Tampung Bekalan Dari Kanada, Mexico

03/02/2025 08:26 PM

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) dijangka mampu menambah bekalan minyak mentah purata 5.8 juta tong sehari (bpd) sekiranya berlaku penurunan ketara bekalan minyak dari Kanada dan Mexico, menurut Rystad Energy.

Dalam satu nota peyelidikan hari ini, firma perunding tenaga itu berkata anggaran itu adalah berdasarkan tahap purata penggunaan sebelum ini. 

Ia berkata tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang akan mengenakan tarif kepada negara rakan dagangnya akan memberi kesan terhadap pengeluaran minyak dan ekonomi logistik bagi kedua-dua negara tersebut.

Trump baru-baru ini mengumumkan akan melaksanakan tarif ke atas tiga rakan dagangan terbesarnya iaitu Kanada dan Mexico sebanyak 25 peratus, manakala 10 peratus kepada China, yang dijangka akan memberi kesan global yang meluas, katanya.

 

Kesan Tarif dan Tindak Balas

 

Bagaimanapun, menurut Rystad Energy tarif 25 peratus ke atas minyak Kanada itu telah ditetapkan kepada 10 peratus, menyebabkan negara itu bertindak mengenakan tarif 25 peratus ke atas import AS bernilai US$105 bilion.

Sementara itu, Mexico dan China masih dalam proses merangka tindak balas ekoran dianggarkan bahawa sekatan ini akan mengancam 15 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Mexico dan Kanada.

Pengeluaran minyak mentah Mexico yang kini menyusut pula dijangka merosot lagi akibat tarif ke atas 0.5 juta bpd eksport ke AS, kata firma perunding itu.

 

Kapasiti OPEC+ dan Pertimbangan Pasaran

 

Firma itu menekankan bahawa OPEC+ mempunyai kapasiti untuk menghasilkan minyak mentah pada kira-kira 50.0 juta bpd dengan purata penggunaan sebelum ini sekitar 94 peratus dari 2010 hingga 2018.

"Jumlah aliran yang terjejas adalah kira-kira 4.5 juta bpd import AS, walaupun tidak semuanya akan terjejas.

"OPEC+ juga sedar bahawa harga minyak yang lebih tinggi hampir US$90 setong boleh mengurangkan permintaan dan menggalakkan ketidakpatuhan seterusnya menyebabkan kebocoran bekalan yang lebih tinggi ke pasaran," katanya.

Bagi meningkatkan tahap pematuhan usaha berterusan telah dilaksanakan oleh pertubuhan itu dan ia telah pulih dengan ketara berbanding suku keempat 2024.

“Apa yang boleh dilihat kini ialah OPEC+ berkemungkinan akan menambah bekalan hanya untuk mengekalkan harga siling dan tidak mungkin menurunkan harga,” kata Rystad Energy.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2388932