Seorang peniaga kedai makan dan runcit dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap lima remaja dan melepaskan tembakan di tempat yang tidak dibenarkan pada 27 Jan.
Yusooff Salleh, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan tersebut dibacakan terhadapnya.
Lelaki itu didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak menyebabkan kematian kepada lima remaja lelaki berusia antara 15 dan 16 tahun.
Yusooff juga didakwa melepaskan tembakan menggunakan senjata api jenis senapang patah Fair Premier di tempat yang tidak dibenarkan, pada waktu dan tarikh yang sama.
Majistret Nurul Huda Idris kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes.
--fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA