JENAYAH & MAHKAMAH

Pelancong China Maut Ketika Menyelam Di Semporna

10/03/2025 09:58 AM

SEMPORNA, 10 Mac (Bernama) -- Seorang pelancong lelaki warga China berusia 34 tahun, maut akibat lemas ketika melakukan aktiviti menyelam di perairan Pulau Mabul, semalam.

Ketua Polis Daerah Semporna Supt Mohd Sabri Zainol, berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada 2.36 petang.

"Pengadu, seorang jurulatih selam bersama seorang lagi jurulatih, membawa lima penyelam termasuk mangsa ke perairan Pulau Mabul pada kira-kira 10.50 pagi untuk menyelam pada kedalaman 12 meter. Aktiviti itu selesai sekitar 12.30 tengah hari, dan semua penyelam, termasuk mangsa, telah naik ke permukaan serta menyerahkan peralatan menyelam," katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, selepas menyerahkan peralatan, mangsa masih kelihatan berenang di sekitar bot.

"Apabila semua penyelam naik ke bot, pengadu mendapati mangsa tiada. Setelah pemeriksaan dilakukan di sekitar kawasan itu, mangsa ditemukan terapung di permukaan air dalam keadaan telangkup," katanya.

Penyelam lain segera mengangkat mangsa ke atas bot dan cuba memberikan bantuan pernafasan sebelum membawanya ke Hospital Semporna.

"Setibanya di hospital, pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia. Siasatan telah dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," tambahnya.

Mohd Sabri berkata, bedah siasat akan dilakukan dalam tempoh 48 jam sekiranya tiada waris tampil menuntut jenazah bagi mengelakkan mayat mereput.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Mohammad Ali Amat di talian 013-2120852 atau balai polis berdekatan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2400655