DUNIA

China Lancar Siasatan Antitrust Ke Atas Google

04/02/2025 05:27 PM

BEIJING, 4 Feb (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- China melancarkan siasatan antitrust terhadap syarikat gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS), lapor Sputnik/RIA Novosti, memetik Pentadbiran Negara China untuk Peraturan Pasaran pada Selasa.

"Disebabkan disyaki melanggar undang-undang antitrust Republik Rakyat China, Pentadbiran Negara untuk Peraturan Pasaran Republik Rakyat China telah melancarkan siasatan terhadap Google," menurut agensi itu dalam satu kenyataan.

Terdahulu, China mengumumkan mengenakan duti 15 peratus ke atas arang batu dan gas asli cecair (LNG) dari AS dan tarif 10 peratus ke atas minyak mentah, jentera pertanian, kenderaan berkapasiti besar dan trak pikap sebagai tindak balas kepada sekatan baharu AS ke atas barangan China.

Pada Sabtu, Presiden AS Donald Trump menandatangani perintah eksekutif untuk mengenakan tarif ke atas barangan yang diimport dari Kanada, Mexico dan China berkuat kuasa mulai 4 Februari. Tarif import AS sebanyak 25 peratus akan dikenakan ke atas semua barangan dari Kanada, kecuali sumber tenaga, iaitu kadar akan menjadi 10 peratus. Tarif ke atas barangan dari Mexico juga akan menjadi 25 peratus. Tarif sebanyak 10 peratus akan dikenakan ke atas barangan dari China, sebagai tambahan kepada tarif sedia ada ke atas import China ke AS.

Pada Isnin, Trump mengumumkan pengecualian tarif selama sebulan bagi Mexico dan Kanada selepas mengadakan perbincangan dengan pemimpin kedua-dua negara, yang mereka berjanji untuk meningkatkan keselamatan sempadan.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2389220