SHAH ALAM, 4 Feb (Bernama) -- Seorang wanita yang dilaporkan hilang sejak 29 Jan, ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kereta di Pantai Remis, Kuala Selangor awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Azaharudin Tajudin berkata mayat wanita berusia 34 tahun itu ditemukan di kawasan tempat letak kenderaan kira-kira 2 pagi oleh anggota yang membuat rondaan di situ.
"Pintu kereta terbabit berkunci dan polis meminta bantuan bomba untuk mengeluarkan mayat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata pemeriksaan awal pada mayat tidak menemukan kecederaan fizikal atau unsur jenayah dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Mayat katanya dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Daerah Polis Kuala Selangor 03-32891222 atau balai polis berhampiran.
Laporan kehilangan wanita itu dibuat pada 31 Jan di Damansara, dekat sini selepas kali terakhir dilihat oleh ahli keluarga pada 10 pagi 29 Jan, semasa keluar dari rumah dengan menaiki kereta.
-- BERNAMA