KOTA KINABALU, 4 Feb (Bernama) -- Penduduk di bandar raya ini dan kawasan sekitarnya dinasihatkan supaya bersedia menghadapi kemungkinan gangguan bekalan air susulan pelaksanaan kerja kecemasan pembaikan kebocoran paip di hadapan Skyline SIB, Jalan Penampang, mulai 2 petang, Jumaat ini.
Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya berkata kerja-kerja pembaikan dijangka mengambil masa kira-kira 12 jam untuk disiapkan.
Menteri Kerja Raya Sabah itu berkata kawasan terjejas termasuk pusat bandar Kota Kinabalu, Kepayan, Tanjung Lipat, Kolombong, Inanam, Luyang, Bukit Padang, Penampang, Kobusak, Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun Sabah (KDCA) serta beberapa kawasan lain di daerah Penampang dan Putatan.
“Kerja-kerja pembaikan akan melibatkan penggalian di kawasan terjejas, mengenal pasti titik kebocoran, serta menjalankan pembaikan paip yang diperlukan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata semasa tempoh terbabit, Loji Rawatan Air Moyog akan beroperasi pada kapasiti 109 juta liter sehari (MLD) berbanding 187 MLD biasa, yang merekodkan pengurangan sebanyak 41 peratus dalam pengeluaran air terawat.
Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) katanya akan menghantar lori tangki air ke kawasan terjejas dan penduduk dinasihatkan supaya menyimpan air mencukupi serta menggunakannya dengan berhemat sehingga bekalan air pulih sepenuhnya.
-- BERNAMA