Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah
BEIJING, 10 Feb (Bernama) -- Hampir dua dekad berkelana di perantauan sejauh 5,709 kilometer dari negara kelahirannya, lelaki ini tidak sekadar terus kekal setia dengan identiti akar budaya yang diwarisinya, namun mempunyai cara tersendiri untuk memperkenalkan Malaysia kepada dunia.
Bekerja di sebuah hotel bertaraf lima bintang di tengah bandar pesat ibu negara China, di Beijing, membolehkan Cef Stephen Teo memanfaatkan peluang itu dan kemahiran seni kulinarinya sebagai ‘jambatan’ untuk menghubungkan dua negara melalui keenakan rasa dan keunikan menu tradisi Malaysia.
Ternyata percaturan anak jati Kuching, Sarawak ini mempamerkan keistimewaan negara kelahirannya menerusi kekayaan hidangan yang merentas pelbagai kaum dalam menterjemahkan ‘nilai perpaduan, muhibah’ di atas meja makan, berjaya menarik minat mereka untuk mengenali Malaysia.
pic-2
Paling menggembirakan lelaki ini, apabila hasil sentuhannya dalam penyediaan hidangan laksa dan nasi lemak, dua menu popular di Malaysia, bukan sahaja diterima baik bahkan turut disukai oleh masyarakat di Beijing termasuklah mereka yang belum lagi berkunjung ke Malaysia.
“Apabila makanan kita dipuji, ia cukup membanggakan saya. Sekurang-kurangnya, usaha kecil ini dapat mempromosi negara kita yang kaya dengan makanan enak. Selain itu, mereka juga turut diperkenalkan dengan menu seperti nasi ayam, char kuetiau, rendang, kari ayam, laksa johor dan sate.
“Menu ini mewakili cita rasa budaya pelbagai kaum di Malaysia. Misalnya, char kuetiau, yang mempunyai pelbagai variasi dari negeri-negeri di negara kita seperti Sarawak, Kuala Lumpur serta Penang, sekali gus menggambarkan betapa kayanya budaya dan makanan kita,” katanya kepada Bernama.
pic-3
Istimewanya, seni kulinari Teo tidak sekadar memanfaatkan platform di hotel tempatnya bekerja untuk memperkenalkan hidangan Malaysia tetapi juga menerusi acara rasmi apabila diberi kepercayaan menyediakan menu sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China.
Dalam majlis istimewa itu, bapa kepada dua orang anak ini menyedari peranannya bersama chef lain sangat penting untuk menyediakan menu yang dapat mencerminkan keutuhan hubungan yang terjalin antara dua negara dengan menggabungkan keindahan menu Malaysia dan China.
Tidak sekadar memastikan pemilihan sajian terkenal Malaysia bahkan Teo juga akan mengenal pasti hidangan kegemaran dari pelbagai wilayah di China dalam menjayakan majlis anjuran Kedutaan Malaysia di China ini sebagai medan untuk menggambarkan kemesraan hubungan antara dua negara.
pic-4
“Acara rasmi sebegini juga adalah platform terbaik dalam memperkenalkan kebudayaan Malaysia. Dengan cara ini, saya bukan hanya memperkenalkan keunikan rasa masakan Malaysia tetapi juga menerangkan sejarah dan nilai di sebalik setiap hidangan.
“Kaedah sebegini sebenarnya mempunyai impak sangat baik dan berkesan, membolehkan orang luar menghargai dan mengenali kepelbagaian Malaysia dengan cara lebih mendalam,” katanya yang berpengalaman 30 tahun dalam seni kulinari dan juga merupakan Resident Manager Executive Office.
Sebagai rakyat yang lahir dari negara berbilang bangsa, Teo amat memahami kepentingan halal bagi masyarakat dan pelancong Muslim dan sebaiknya, beliau akan cuba untuk memastikan penggunaan bahan halal di hotel tempatnya bekerja.
"Penggunaan bahan halal bukan sahaja memenuhi keperluan pelanggan Muslim dari pelbagai negara tetapi juga menepati standard tinggi dalam industri perhotelan global. Sebagai rakyat Malaysia, saya sudah terbiasa dengan perkara ini.
“Kita patut menghormati keperluan agama dan budaya sambil memberikan pengalaman masakan yang autentik dan berkualiti. Penggunaan bahan halal bagus kerana ini membuktikan makanan yang disediakan di hotel selamat untuk dinikmati pelanggan dari pelbagai latar belakang agama,” katanya.
-- BERNAMA