Oleh Atira Khalisha Nor Adnan
KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- "Ada luka yang tak terlihat, tetapi denyutannya terasa hingga ke jantung. Ada kesakitan yang tak terucap, tetapi degupnya bergema mencengkam dalam dada," demikian kapsyen pada Instagram Aina Abdul.
Kapsyen itu menyertai gambar pemenang Persembahan Terbaik, Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) tersebut yang menyarungkan gaun kembang berona merah, memberikan bayangan kostum yang dipakai bukan sekadar busana pentas tetapi manifestasi jiwa yang hancur berkecai persis lirik lagu yang dilantunkan.
Direka bertemakan jantung, jelas kelihatan paparan grafik bentuk mata, mulut, telinga dan jantung milik penyanyi itu memenuhi bahagian bawah gaun di celah-celah “salur darah” yang berselirat.
Melinda Looi, pereka fesyen yang bertanggungjawab merealisasikan karya dramatik itu, berkata rekaan baju tersebut yang diinspirasikan daripada fesyen Victorian dress, lengkap dengan lengan berbentuk puff serta korset, merupakan idea penyanyi berasal dari Johor Bahru berkenaan.
pic-2
“Konsep baju ini memang semuanya daripada Aina Abdul, dia bagi direction apa yang diinginkan. Jadi saya cuba terjemahkan dan reka berdasarkan permintaannya. Kali ini Aina nak bertemakan jantung sebab lagu Puas Sudah itu berkisarkan hati yang hancur dilukai,” katanya ketika ditemui Bernama selepas pertunjukan fesyen Melinda Looi Uniform Atelier, di sini.
“Beliau tunjukkan saya gambar yang ada mata, mulut, telinga dan jantung. Aina kata ‘saya mahukan jantung, mata dan bibir saya pada baju ini.’ Saya lakukan carian dalam Internet dan jumpa semua gambar yang diperlukan,” tambahnya.
Looi yang sentiasa menyahut cabaran Aina dalam menghasilkan busana unik untuk persembahan artis itu, berkata beliau menggunakan lebih daripada 15 teknik berbeza bagi memastikan setiap lembaran fabrik serta perincian baju berkenaan dapat menghasilkan kesan visual yang mendalam.
pic-3
“Kami bekerjasama rapat, dari pentas hingga ke rekaan baju dan segala-galanya. Saya mahu baju itu kelihatan seperti sebuah kisah sedih, koyak rabak. Oleh sebab itulah nampak berterabur… ada fabrik yang dikoyakkan, ada air mata dan titisan darah,” katanya yang telah berkecimpung dalam industri fesyen selama lebih dua dekad.
Menurutnya, beliau turut berdepan cabaran bagi menyiapkan rekaan baju yang cukup dramatik itu, terutamanya ketika mencari rona merah yang tepat bagi menggambarkan warna darah yang mewakili keremukan hati.
“Kami mengambil masa hampir dua minggu untuk menghasilkan warna yang kami mahukan. Kita hasilkan warna, kemudian buat prototaip, tempah material, manik dan batu hiasan… semua itu mengambil masa yang lama,” katanya menambah jumlah mata yang menghiasi baju itu mewakili tarikh lahir Aina.
pic-4
Kongsi pereka fesyen yang pernah mewakili Malaysia ke World Fashion Awards dan World Fashion Week di Paris pada 2014 itu lagi, mereka menggunakan khidmat lebih 15 tenaga kerja untuk menyiapkan baju tersebut yang mengambil masa dua bulan, bermula November tahun lepas.
Walaupun seakan mustahil untuk direalisasikan, Looi berkata beliau gemar mencabar dirinya bereksperimentasi dengan rekaan baharu, malah berhasrat menghasilkan lebih banyak busana unik pada masa akan datang.
-- BERNAMA