KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim menyarankan mangsa penipuan melibatkan aktiviti sukan supaya membuat laporan polis agar tindakan tegas dapat diambil.
Adam Adli berkata kementerian itu mengambil maklum berhubung dua kes yang berlaku baru-baru ini melibatkan pakej latihan badminton dan penganjuran pertandingan bola sepak tidak wujud di Ipoh pada Sabtu lepas.
“Saya sarankan supaya laporan polis dibuat dan kita akan pastikan di peringkat kita juga siasatan dibuat (termasuk oleh Pesuruhjaya Sukan).
“Kalau ada melibatkan mana-mana persatuan sukan kebangsaan, negeri, daerah atau pihak yang ada berhubungan dengan kementerian, kita minta tindakan tegas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Pendedahan dan Latihan Pengurusan Nenas dan Kursus Personel Binaan (Kad Hijau) Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) di sini hari ini.
Sebelum ini tular satu video di media sosial yang mendakwa terdapat ramai ibu bapa menjadi mangsa penipuan pakej latihan badminton untuk murid sekolah, mencecah puluhan ribu ringgit dengan modus operandi menggunakan pelbagai nama akademi yang wujud bagi mengaburi mata mangsa.
Selain itu, penganjuran Karnival Pertandingan Bola Sepak 11 Sebelah U14 dan U16 ASM Cup & Big Pos Cup 2025 yang sepatutnya berlangsung pada 7 pagi, Sabtu lepas pula tidak berlaku.
Dalam perkembangan lain, Adam Adli berkata kejayaan dilakar pelumba wanita remaja negara Sawda Hasbullah yang memecah rekod dunia baharu acara satu kilometer (km) ujian masa wanita pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2025 di Velodrom Nasional, Nilai, Ahad lepas membuktikan negara tidak ketandusan pelapis sukan berkenaan.
“Kita tahu sukan berbasikal trek ini terhad dan tak sama macam lebuh raya kerana bukan semua orang boleh ada akses kepada sukan berkenaan.
“Namun, ia tidak bermaksud tiada pengembangan bakat-bakat baharu, kumpulan bakat itu ada jadi Sawda sendiri adalah manifestasi kepada keberhasilan sektor sukan basikal itu sendiri,” katanya.
Sawda yang turut memenangi emas di final dengan catatan satu minit 10.818 saat (s) untuk memperbaharui rekod dicipta pelumba Taiwan Liu Shang Ying (1:12.722s) pada pusingan kelayakan.
Sementara itu, Adam Adli memuji inisiatif Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) yang menggerakkan dua kursus itu, sekali gus memberi peluang kepada bekas atlet meneroka sektor baharu yang mampu menjana pendapatan mereka selepas mencurah keringat berbakti untuk negara dalam sukan disertai sebelum ini.
-- BERNAMA