KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengumumkan pengantaran pertama gas asli cecair (LNG) daripada usaha sama mereka, LNG Canada dijangka tiba Julai ini.
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Gas dan Maritim Petronas Datuk Adif Zulkifli berkata penghantaran itu bagaimanapun mengalami kelewatan berbanding sasaran asal iaitu pada penghujung 2024.
Kelewatan itu disebabkan terutamanya oleh keadaan cuaca yang buruk di Kanada, katanya.
"Suhu pada relatifnya sangat teruk berikutan musim sejuk di sana yang sangat buruk. Loji tersebut perlu dilindungi, dan proses ini memerlukan banyak tenaga kerja," katanya kepada pemberita selepas pengumuman prestasi kewangan Petronas bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 di sini hari ini.
LNG Canada, yang dimiliki 25 peratus oleh Petronas, sepatutnya menghantar kargo LNG pertamanya sebelum akhir 2024.
Adif berkata isu tenaga kerja turut menjadi masalah kepada operasi tetapi syarikat minyak negara itu dalam proses mengatasinya dengan membawa masuk tenaga kerja yang mencukupi sejak Januari.
Sementara itu, mengulas tarif Amerika Syarikat yang berpotensi memberi kesan kepada operasi Petronas di Kanada, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tengku Tan Sri Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata syarikat minyak nasional itu akan berpegang teguh kepada pendirian Malaysia.
"Kita adalah sebuah negara perdagangan terbuka. Kita berdagang secara adil dan saksama serta mematuhi undang-undang tertakluk kepada mana-mana bidang kuasa.
"Dalam pasaran LNG, kami akan mengikut mekanisme penetapan harga yang telah kukuh," katanya, sambil menambah bahawa LNG Canada disasarkan untuk pasaran Timur Jauh.
-- BERNAMA