IPOH, 25 Feb (Bernama) -- Sebuah pasukan berbakat dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) telah meraih kejayaan dengan menduduki tempat kedua yang berprestij dalam pertandingan Simulasi Pelajar Kejuruteraan Industri dan Pengurusan Operasi (IEOM) yang diadakan di Singapura, bersempena dengan Persidangan Antarabangsa IEOM 2025.
UTP dalam kenyataan hari ini memaklumkan dengan bersaing melawan 47 pasukan dari seluruh dunia, pelajar mereka, Yuvanesh Jeva dan Ira Elisa Lajium, kedua-duanya dari program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, serta ketua pasukan Sivainesh Devi Remesh, seorang pelajar dari program Ijazah Sarjana Kejuruteraan Mekanikal, telah mempamerkan kepakaran dalam pemodelan simulasi dan penyelesaian masalah, dan berjaya muncul sebagai seorang daripada tiga finalis terbaik.
"Pertandingan sengit ini dijalankan dalam dua pusingan, bermula dengan pasukan menghantar model simulasi dan laporan untuk penilaian. Tiga finalis terbaik kemudiannya membentangkan penyelesaian mereka, dengan pasukan UTP bersaing dengan dua pasukan dari Temasek Polytechnic, Singapura.
Pembentangan pasukan UTP, yang merangkumi ringkasan eksekutif, pengesahan model, dan penambahbaikan kecekapan untuk sistem pengangkutan yang tidak efisien, dipuji sebagai yang terbaik dalam pertandingan, sekali gus membolehkan mereka memperoleh tempat kedua," menurut kenyataan itu.
UTP turut menyatakan bahawa kajian kes tersebut mencabar pasukan untuk memodelkan sistem pengangkutan yang tidak efisien dengan empat bangunan yang mengelilingi sebuah tasik.
Setiap bangunan dilengkapi dengan basikal dan buggy yang disediakan untuk kakitangan, dengan satu daripada bangunan juga menyediakan akses buggy untuk lawatan tasik bagi pelawat. Matlamatnya adalah untuk mensimulasikan ketidakcekapan dan mencadangkan penambahbaikan.
Sementara itu, Sivainesh berkata bersaing dengan yang terbaik di dunia adalah satu pengalaman yang sangat berharga.
"Pasukan kami mencurahkan sepenuh hati dan usaha dalam pertandingan ini, dan kami amat gembira dengan pencapaian yang kami raih," katanya.
Penasihat pasukan Dr Shuib Husin, berkata pencapaian ini menunjukkan kekuatan latihan kejuruteraan dan analitikal di UTP.
"Pelajar kami telah menunjukkan keupayaan mereka untuk bersaing di peringkat yang tinggi, dan kami sangat berbangga dengan kejayaan mereka. Kami berharap dapat melihat impak yang mereka bawa pada masa depan," tambahnya.
-- BERNAMA