AM

ASEAN Tidak Hadapi Masalah Capai Suara Konsensus - PM Anwar

26/02/2025 05:10 PM

Daripada Mohd Haikal Mohd Isa

HANOI, 26 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ASEAN tidak mempunyai masalah untuk mencapai suara konsensus walaupun dalam kalangan negara anggota mempunyai kepentingan berbeza-beza dalam sesuatu perkara.

Beliau berkata walaupun berlakunya perbezaan pandangan berkaitan sesuatu perkara dalam kalangan negara anggota ASEAN, tetapi ia tidak menyebabkan ketegangan atau hingga terputus hubungan.

“Setiap negara (anggota ASEAN) akan mengambil pendekatan yang dianggap penting mengikut  keutamaan masing-masing tetapi mencapai konsensus ASEAN tetap menjadi keutamaan.

“Kemboja, seperti yang disebut, masih mempertahankan hubungan dengan kedua-dua negara iaitu China dan Amerika Syarikat...walaupun dalam hubungan dua hala mereka mungkin cenderung berpihak, tetapi dari segi ASEAN saya rasa kita tidak hadapi apa-apa masalah,” katanya kepada media Malaysia pada akhir lawatan kerja dua hari beliau ke Vietnam hari ini.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mewakili negara sebagai Pengerusi ASEAN 2025 menyampaikan ucaptama pada Forum Masa Depan ASEAN kedua anjuran Kementerian Luar Vietnam, yang turut dihadiri Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, Presiden Timor-Leste Jose Ramos Horta dan Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon.

Perdana Menteri berkata terdapat persetujuan semua negara anggota ASEAN termasuk Kemboja untuk mengadakan Sidang Kemuncak dengan Amerika Syarikat, China dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Beliau berkata terdapat kebijaksanaan ASEAN dalam perkara berkenaan dan ia merupakan sesuatu yang perlu dipupuk.

“Rantau Asia Tenggara pada ketika ini dianggap paling aman di dunia dan paling pantas serta pesat dari segi pertumbuhan ekonominya,” kata Anwar sambil menambah bahawa perbezaan pendapat dalam kalangan negara anggota tidak menjejaskan suara ASEAN.

Anwar berkata ASEAN terus mengadakan jaringan dengan pelbagai negara termasuk kuasa-kuasa besar selaras dengan konsep pemusatan yang menjadi pegangannya sejak dari zaman pengasasnya Almarhum Tunku Abdul Rahman.

Konsep pemusatan ASEAN diteruskan apabila Malaysia menjalin hubungan diplomatik dengan China ketika negara di bawah pemerintahan Allahyarham Tun Abdul Razak, kata Anwar.

Perdana Menteri berkata konsep itu bermaksud meneruskan jaringan dan mengekalkan hubungan dengan semua pihak, Amerika Syarikat, Eropah dan China.

“Tidak ada kuasa yang harus menekan kita, untuk memaksa kita membuat pilihan. Jadi itu adalah konsensus dalam ASEAN,” katanya.

Mengenai isu Laut China Selatan pula, Perdana Menteri berkata terdapat konsensus dalam kalangan ASEAN untuk melihat isu Kod Tatalaku (CoC) di perairan yang strategik dan penting untuk perdagangan dunia itu dapat diselesaikan dengan segera.

“Dulu dianggap bahaya, yang mempersulitkan (tentang CoC) mengenai menunggu dengan China, tetapi sejak tahun lepas di Sidang ASEAN di Jakarta, Premier China Li Qiang telah menyebut bahawa China juga bersama dengan ASEAN untuk mempercepatkan rundingan pelaksanaan CoC di Laut China Selatan,” katanya.

Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN berharap semua pihak dapat mengadakan perbincangan untuk mempercepatkan proses CoC, Mei ini.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2396713