EKONOMI

Ekonomi Sarawak Diunjur Berkembang Sebanyak 6 Peratus – Timbalan Premier

26/02/2025 02:54 PM

KUCHING, 26 Feb (Bernama) -- Ekonomi Sarawak dijangka berkembang antara lima hingga enam peratus tahun ini, kata Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) berkata pertumbuhan ekonomi Sarawak didorong oleh permintaan luar yang kukuh dan aktiviti domestik yang meningkat, menjadikan negeri itu sebagai antara destinasi pelaburan utama di Malaysia.

”Dari tahun 2020 hingga 2024, Sarawak telah menunjukkan prestasi pelaburan yang kukuh dengan jumlah pelaburan sebanyak RM120.3 bilion merangkumi pelbagai sektor termasuk sektor utama, perkhidmatan dan pembuatan.

“Daripada jumlah ini, RM51.2 bilion adalah daripada pelaburan langsung asing (FDI), manakala RM69.1 bilion daripada pelaburan langsung domestik (DDI),” katanya ketika berucap pada majlis amanat kementerian itu di sini, hari ini.

Awang Tengah berkata perdagangan antarabangsa mencatatkan imbangan dagangan yang positif sejak 2004 hingga 2023.

“Pada 2004, imbangan dagangan telah mencatatkan sebanyak RM23.5 bilion. Manakala pada 2023, imbangan dagangan melonjak kepada RM68.2 bilion,” katanya.

Beliau berkata, antara negara dagangan utama Sarawak adalah Jepun, China, Korea Selatan dan India.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2396733