EKONOMI

Maybank Unjur KDNK Malaysia Pada 4.9 Peratus Tahun Ini

26/02/2025 08:02 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Pertumbuhan ekonomi Malaysia 2025 dijangka kekal kukuh pada 4.9 peratus, menurut Malayan Banking Bhd (Maybank).

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Khairussaleh Ramli berkata walaupun merekodkan penguncupan KDNK sebanyak 5.1 peratus pada tahun lepas, bank itu yakin negara mampu mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang munasabah tahun ini, dipacu melalui pelaburan, penggunaan dan pertumbuhan pelaburan swasta yang berterusan merentasi koridor ekonomi utama di seluruh negara.

“Semalam, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengumumkan pelaburan yang diluluskan untuk 2024. 

"Walaupun dengan kadar pelaburan sebenar, wang yang masuk pada suku ketiga telah meningkat dengan ketara dari tahun ke tahun," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan prestasi kewangan bank itu yang berakhir 31 Disember 2024 di sini hari ini. 

Berdasarkan data terkini yang dikeluarkan oleh MIDA, Malaysia memperoleh RM378.5 bilion daripada pelaburan yang diluluskan pada 2024, tertinggi dalam sejarah negara, menandakan tambahan 14.9 peratus dari tahun ke tahun berbanding rekod sebelumnya iaitu sebanyak RM329.5 bilion semasa 2023. 

Khairussaleh juga menegaskan penggunaan merupakan sebahagian besar daripada ekonomi negara. 

"Dengan upah minimum yang lebih tinggi, keupayaan untuk mengeluarkan simpanan KWSP selain gaji yang lebih tinggi bagi penjawat awam, yang mana, semua ini akan memberi dorongan kepada pertumbuhan penggunaan untuk kekal kukuh," katanya.

Bank tersebut juga menjangkakan Bank Negara Malaysia akan mengekalkan kadar dasar semalaman pada 3.0 peratus, manakala pertumbuhan pinjaman stabil pada kira-kira 5.5 peratus tahun ini dipacu oleh pertumbuhan ekonomi domestik yang agak mantap.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2396912