AM

Peranan Wanita Penting Pupuk Hubungan Kekeluargaan Kukuh - Wan Azizah

26/02/2025 03:28 PM

PUTRAJAYA, 26 Feb (Bernama) -- Institusi keluarga kini menghadapi cabaran lebih kompleks dibawa oleh pelbagai faktor seperti kemajuan teknologi, kepesatan penggunaan media sosial dan perubahan ekonomi, lebih-lebih lagi selepas dunia diuji dengan pandemik COVID-19, kata isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-isteri Harapan Malaysia (Kasih Malaysia) berkata cabaran itu membawa kepada perubahan nilai sosial yang telah mengubah dinamika keluarga dan kesannya lebih kepada wanita berkerjaya.

"Ingatlah, peranan dan tanggungjawab sebagai seorang ibu perlu sentiasa diutamakan walau sesibuk manapun kita berkerja," katanya kepada media selepas majlis perasmian Karnival Wanita MADANI 2025, di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Wan Azizah berkata ibu menjadi tonggak kesejahteraan dalam institusi kekeluargaan malah dalam Islam, kedudukan ibu diutamakan sebanyak tiga kali berbanding bapa.

"Wanita seharusnya mampu menjadi suri teladan, sumber inspirasi dan juga pembimbing. Wanitalah pendukung utama suami dalam setiap keadaan sama ada susah ataupun senang. Seorang ibu juga seharusnya mampu menjadi contoh yang baik buat anak-anak," katanya.

Beliau berkata walaupun peranan wanita mengimbangi tanggungjawab kerjaya dan kehidupan berkeluarga, namun jangan dilupa peranan dan tanggungjawab seorang lelaki atau suami. 

"Suami sebagai lelaki Qawwam perlu memahami, menjadi pelindung, bertolak ansur dan membantu dalam tugasan rumah tangga lebih-lebih lagi jika isteri juga berkerja. Keluarga merupakan tanggungjawab bersama," katanya.

Wan Azizah berkata kunci untuk mempunyai kerjaya yang stabil serta keluarga harmoni dan kukuh.

Mengenai Karnival Wanita MADANI 2025, Wan Azizah berkata ia menekankan peranan wanita dalam pembangunan negara selaras dengan konsep MADANI merangkumi menjadi warganegara yang baik, isteri dan ibu prihatin dan melahirkan modal insan lebih terdidik.

Karnival bertemakan Wanita MADANI: Tonggak Keunggulan Keluarga dan Pencetus Generasi Gemilang dijayakan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan Kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) dan Kasih Malaysia.

Program itu merupakan satu inisiatif bagi memperkasa wanita dalam pelbagai aspek kehidupan sejajar dengan konsep MADANI yang menekankan prinsip keadilan, kesaksamaan dan kesejahteraan untuk semua.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2396759