AM

Malaysia, Thailand Perhebat Kerjasama Pertahanan Dan Latihan Ketenteraan

27/02/2025 12:21 AM

GEORGE TOWN, 26 Feb (Bernama) -- Malaysia dan Thailand terus komited untuk memperhebat kerjasama pertahanan dan latihan bersama dalam ketenteraan termasuk menerusi Eksesais Cobra Gold.

Komitmen itu dinyatakan kedua-dua negara dalam kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Thailand Phumtham Wechayachai ke atas Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersempena dengan Permukiman Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM Retreat) di Batu Ferringhi, hari ini.

Menurut Kementerian Pertahanan, kedua-dua menteri itu turut bersetuju bahawa negara-negara anggota ASEAN perlu menjadi kuat dan bersatu agar lebih banyak kerjasama dapat dilihat antara negara serantau pada masa depan. 

Dalam pada itu, Wechayachai turut mengucapkan terima kasih kepada Mohamed Khaled atas kerjasama erat yang dipamerkan selama ini dan menyokong sepenuhnya hubungan kukuh antara Malaysia dengan Thailand dalam sektor pertahanan termasuk kepimpinan Malaysia dalam penganjuran ASEAN 2025.

Thailand juga menyokong Malaysia dalam penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA 2025) serta menjemput Malaysia untuk menyertai pameran pertahanannya, Defense & Security 2025 yang akan diadakan di Bangkok pada November untuk meneroka lebih banyak kerjasama dalam sektor pertahanan.

Sementara itu, dalam pertemuan bersempena dengan kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kemboja Tea Seiha pula, negara itu memberi bayangan untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pertahanan bagi meningkatkan dan mewujudkan kerjasama baharu dengan Malaysia dalam bidang berkenaan.

Menurut Kementerian Pertahanan, Kemboja juga menyatakan sokongan penuh terhadap Malaysia yang mempengerusikan ASEAN dan ADMM pada tahun ini sementara Malaysia pula menekankan kepentingan ADMM sebagai platform penting untuk mengukuhkan kerjasama pertahanan serantau.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled menjemput Kemboja untuk menyertai LIMA 2025, yang akan berlangsung pada 20 hingga 24 Mei ini di Langkawi, Kedah.

Terdahulu, Mohamed Khaled menerima kunjungan hormat rakan sejawatnya dari Indonesia Sjafrie Sjamsoeddin, Khamlieng Outhakaisone (Laos) dan Dr Eng Ng Hen (Singapura) selain Timbalan Menteri Pertahanan Vietnam Nguyen Tan Cuong dan Setiausaha Pertahanan Filipina Gilberto C.Teodoro.

Lebih 150 delegasi dari negara anggota ASEAN, termasuk Timor-Leste dan Sekretariat ASEAN, menghadiri permukiman ini yang diadakan bersempena dengan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 bertemakan "Keterangkuman dan Kemampanan".

 Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada lebih 300 mesyuarat, program dan sidang kemuncak berkaitan ASEAN sepanjang tahun ini, menjadikannya antara kepengerusian paling aktif sejak negara ini memegang peranan yang sama pada 1977, 1997, 2005, dan 2015.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2397044