AM

PKNS Sumbang Peralatan Sekolah, Pakaian Raya Bawa Keceriaan Kepada Anak-anak Gelandangan

27/02/2025 12:20 AM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) meneruskan tradisi program Ramadan tahun ini dengan membantu golongan asnaf dan gelandangan melalui Program Sumbangan Bantuan Pelajaran Ramadan Kasih PKNS di Rumah Ilmu, Chow Kit di sini.

Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat PKNS Sapna Turmidi berkata untuk tahun ini, PKNS membawa kelainan dalam usaha menyantuni golongan berkenaan dengan memberikan sumbangan peralatan sekolah kepada anak-anak gelandangan.

“Meskipun namanya (program ini) menjelang Ramadan, tetapi disebabkan anak-anak baru masuk ke (sesi baharu) sekolah, jadi kita berikan sumbangan berbentuk peralatan sekolah kepada 45 anak-anak lingkungan umur tujuh hingga 17 tahun di Rumah Ilmu ini.

“Sumbangan yang diberikan ialah beg sekolah lengkap dengan alat tulis untuk sesi persekolahan 2025. Nilai sumbangan ini ialah RM100 bagi setiap seorang dengan jumlah keseluruhan RM4,500,” katanya ketika ditemui selepas program itu malam ini.

Sumbangan beg sekolah itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Korporat) PKNS Suhaimi Kasdon.

Program itu turut dihadiri Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan PKNS Dr Azlina Jaapar bersama 20 sukarelawan PKNS.

Bagi memeriahkan lagi sambutan Ramadan tahun ini, Sapna berkata PKNS telah membawa anak-anak gelandangan itu membeli pakaian raya pada 22 Feb lepas di Kompleks PKNS, Shah Alam.

“Kita sudah membeli-belah pada Sabtu lepas dengan peruntukan RM300 bagi setiap seorang. Kita berikan persalinan lengkap kepada mereka. Anak-anak ini sangat gembira apabila dibawa shopping raya, terserlah keceriaan di wajah mereka kerana berpeluang untuk memilih baju raya yang disukai.

“Kita juga akan jemput mereka untuk iftar bulan Ramadan ini pada 11 Mac nanti. Jadi, semasa kita jemput itu mereka akan berbaju raya,” katanya sambil berharap program-program itu mampu memberikan motivasi kepada mereka agar lebih bersemangat dalam pelajaran.

Sementara itu, pengasas Pertubuhan Jejak Jalanan Azhan Adnan, 56, berkata sumbangan yang diberikan oleh agensi itu kepada anak-anak fakir di Chow Kit dilihat cukup bermakna.

“Walaupun kita di Chow Kit ini di bawah Wilayah Persekutuan, tetapi yang menyantuni kami ini orang Selangor. Tahun ini agak grand sikit, kesemua 45 anak-anak ‘abe’ di sini mereka rasa sangat teruja sebab tahun ini berpeluang beli baju raya.

“Alhamdulillah, ‘abe’ ucapkan terima kasih kepada PKNS atas sumbangan pendidikan, pakaian hari raya dan jemputan berbuka puasa nanti. Kita mahu gembirakan anak-anak ini supaya mereka tahu bahawa masih ada orang yang ambil peduli (terhadap kebajikan mereka),” katanya.

-- BERNAMA


 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2397047