AM

Monsta Siar "papa Pipi:terpaling Puasa" Sepanjang Ramadan

28/02/2025 03:10 PM

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- MONSTA, syarikat hiburan berpengalaman dan terkenal dengan penghasilan IP watak-watak fiksyen popular, buat julung kalinya akan menyiarkan siri episod baharu setiap hari pada Ramadan ini menerusi mikro-siri istimewa “Papa Pipi: Terpaling Puasa”.

Pengarah Pemasaran MONSTA Faiz Zainal Aabidin berkata mikro-siri istimewa Papa Pipi: Terpaling Puasa itu dibintangi ikon kesayangan negara, Papa Pipi dan pelakon yang juga pelawak terkenal, Bell Ngasri.

Beliau berkata tayangan mikro-siri Papa Pipi: Terpaling Puasa itu boleh disaksikan pada 6 petang setiap hari sepanjang Ramadan menerusi platform digital MONSTA termasuk YouTube, TikTok, Facebook, Instagram dan lain-lain.

“Mikro-siri berkenaan membawakan kolaborasi eksklusif bersama Bell Ngasri yang sering dikaitkan sebagai ikon Geng Plastik Hitam pada setiap Ramadan.

“Beliau meminjamkan suara bagi melakonkan watak Pali, watak animasi baharu yang peramah serta lucu tetapi suka mencari alasan untuk ponteng puasa dan dikatakan seorang watak yang ‘terpaling’ dalam segala hal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Faiz berkata siri istimewa itu memaparkan kisah realiti dan mencuit hati Papa sekeluarga menjual di bazar Ramadan yang pasti akan menghiburkan penonton.

Beliau berkata tidak ketinggalan sebuah lagu istimewa Papa Pipi berjudul ‘Terpaling Puasa’ yang menceritkan pelbagai ragam berpuasa, bakal disajikan sepanjang tayangan mikro-siri berkenaan dan ia bukan sekadar lagu rancak malah penuh dengan pengisian bermakna mencerminkan kemuliaan Ramadan.

“Papa Pipi: Terpaling Puasa diwujudkan untuk menghidupkan detik-detik Ramadan yang dekat di hati keluarga.

“Kami di MONSTA percaya bahawa kandungan berdurasi pendek adalah lebih mudah untuk ditonton, disukai, dan dikongsi di media sosial," katanya.

Beliau berkata pihak MONSTA berharap kandungan mesra keluarga dengan pendekatan yang lebih santai dan bersahaja ini bakal menceriakan hari-hari mulia pada Ramadan tahun ini.

MONSTA berperanan untuk menghasilkan hiburan yang berkualiti tinggi serta bersesuaian untuk seisi keluarga dan antara IP watak-watak fiksyen popular MONSTA adalah BoBoiBoy, Mechamato, Papa Pipi dan Fly With Yaya.

Pelbagai IP MONSTA kini telah menembusi pasaran global di lebih 70 negara melalui siaran seperti Netflix, Cartoon Network, Disney, Tencent Video dan banyak lagi.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2397634