QINGDAO (China), 3 Mac (Bernama-CMG) -- "Jom, melancong ke China" menjadi tular seiring dengan tayangan filem-filem China di peringkat global.
Semakin ramai pelancong asing tertarik dengan cita rasa China sejak pelaksanaan kempen "China Travel with Chinese Films" anjuran bersama Jabatan Pentadbiran Filem China dan Kumpulan Media China (CMG).
Sebuah kapal persiaran dengan kira-kira 500 pelancong asing berlabuh di Pelabuhan Qingdao pada Sabtu. Ini merupakan rombongan pelancong Eropah terbesar ke China pada tahun ini.
Ramai pelancong asing berminat dengan kempen 'China Travel with Chinese Films' yang menawarkan pakej pelancongan bertemakan filem. Ini bukan sahaja membantu pelancong asing menghayati cerita menarik dan konotasi budaya filem, tetapi juga menikmati pemandangan semula jadi dan mendapat pendedahan tentang adat resam negara itu.
Kru kapal persiaran Kelly Hemsley berkata pelancong dapat melihat sesuatu tempat dengan perspektif lebih luas selepas menonton filem berkaitan.
“Anda akan merasa kagum dengan keindahan suatu tempat dengan menonton filem terbabit dan ingin pergi ke situ untuk melihatnya dengan mata sendiri,” katanya.
Di provinsi Shaanxi, pelancong dan pelajar dari banyak negara kelihatan asyik menghayati budaya tradisional China di beberapa destinasi pelancongan seperti Istana Huaqing.
Di Sichuan, pelancong dari AS, Rusia, dan Sepanyol pula dapat menghayati budaya tempatan melalui filem dan lawatan ke tapak bersejarah.
CMG dan jabatan kereta api juga bekerjasama mengendalikan perkhidmatan gerabak bertemakan "China Travel with Chinese Films" di beberapa laluan kereta api penumpang. Inisiatif itu dilaporkan mendapat sambutan baik daripada pelancong asing yang ingin menjelajah China sambil menoton filem dan merasai "kelajuan kereta api berkelajuan tinggi (HSR)".
Seorang pelancong dari Itali, Airos menyifatkan gerabak seumpama itu sangat istimewa.
“Kita tahu bahawa topik mengenai Ne Zha sangat popular pada masa ini, dan semua orang menyukai filem animasi itu. Ini juga cara terbaik untuk melancong sambil mengalami kelajuan HSR buatan China. Bagus.” katanya.
CMG terus menjalankan kempen “China Travel with Chinese Films” berkonsepkan “filem + pelancongan” di Amerika Utara, Amerika Latin, Eropah, Afrika, dan Timur Tengah bagi menarik lebih ramai pelancong asing ke China.
-- BERNAMA-CMG