Oleh Mohd Noor Iqram Rosli
KOTA BHARU, 6 Mac (Bernama) -- Sejajar usaha membasmi kemiskinan, Agrobank menerusi program Hijrah Asnaf membuka peluang kepada golongan asnaf dan B40 meningkatkan taraf hidup dengan menceburi bidang keusahawanan berkaitan industri asas tani serta produk hiliran berasaskan pertanian dan akuakultur.
Diperkenalkan pada 2021, program itu telah memberi manfaat kepada 457 peserta dari seluruh negara, termasuk Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sabah.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata program inovatif itu mencerminkan komitmen Agrobank terhadap pembangunan pertanian lestari dan kesejahteraan sosial.
"Bagi tahun ini, seramai 466 peserta lagi dijangka menerima manfaat program berkenaan. Peruntukan diberikan berdasarkan bilangan peserta, keluasan tanah, tempoh projek serta bidang diceburi seperti tanaman, ternakan, akuakultur dan produk hiliran.
"Peserta juga dibimbing mengenai teknik moden dan teknologi dalam bidang masing-masing. Selain meningkatkan pendapatan individu, program ini turut membantu menjana peluang pekerjaan dalam komuniti," katanya.
Sementara itu, Zamri Mat Hassan, 54, yang mengusahakan tanaman tembikai di Tok Bali, Pasir Puteh, telah menyertai program itu pada 2023 dan mendapat latihan bagi meningkatkan kemahiran melalui Agrobank Centre of Excellence (ACE) serta agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian.
"Sebelum ini, hasil tembikai yang saya usahakan hanya sekitar 10,000 kilogram semusim, tetapi selepas menyertai Hijrah Asnaf, ia meningkat kepada 20,000 kilogram semusim dengan keluasan tanah 0.8 hektar.
"Permintaan juga bertambah sehinggakan tidak menang tangan. Pelanggan datang dari serata negara seperti Kuala Lumpur, Johor, Selangor, malah dari Singapura," katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Haji Omar, Semerak, Pasir Puteh, baru-baru ini.
Seorang lagi peserta, Amaran Ibrahim, 55, berkata faktor seperti jenis tanah, baja, sistem pengairan dan saliran yang baik memainkan peranan penting dalam menentukan kemanisan buah tembikai.
"Program ini sangat membantu saya meneruskan kelangsungan hidup dari segi ekonomi dan sebagainya, selain dapat menambahkan ilmu pengetahuan dalam bidang pertanian," katanya.
Sementara itu, P. Muhomed Ibrahim Muhomed Shariff, 64, yang mengusahakan benih udang galah di Port Dickson, Negeri Sembilan berkata sebelum menyertai program ini, beliau tidak pernah mengikuti mana-mana kursus penternakan.
Malah, rezekinya sebelum ini juga terbatas kerana hanya mampu menanam sayur-sayuran untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Namun, nasibnya ternyata berubah selepas menyertai Hijrah Asnaf apabila mampu menternak 40,000 hingga 50,000 benih udang galah dalam tempoh tiga bulan.
"Pada masa ini, pelanggan tetap saya datang dari Kuala Lumpur dan Perak. Terima kasih kepada Agrobank kerana membantu saya menjana pendapatan serta dapat meningkatkan taraf hidup," katanya.
-- BERNAMA