KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang pegawai imigresen untuk membela diri atas pertuduhan membuat dokumen perjalanan palsu Pas Malaysia My Second Home (MM2H) bagi penyeludupan migran seorang lelaki warga Vanuatu, tiga tahun lepas.
Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Shamsudin Ishak, 51, di akhir kes pendakwaan.
"Mahkamah mendapati pertuduhan yang dikemukakan pendakwaan adalah tidak cacat daripada segi undang-undang dan berdasarkan keterangan serta pertimbangan maksimum, pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
"Tertuduh diperintah untuk membela diri atas pertuduhan ini," kata hakim itu yang kemudian menetapkan tarikh perbicaraan selama dua hari pada 8 dan 9 Mei depan.
Sementara itu, Shamsudin memaklumkan bahawa dia memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.
Mengikut pertuduhan, Shamsudin yang kini digantung tugas, didakwa memalsukan dokumen perjalanan Pas MM2H bagi seorang lelaki warga Vanuatu, Li Xingqiang, bagi tujuan memudahkan penyeludupan migran. Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat unit MM2H, Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya, pada Jun 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak melebihi RM500,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Peguam T. Harpal Singh yang mewakili Shamsudin memaklumkan pihak pembelaan akan memanggil empat orang saksi, termasuk tertuduh untuk memberi keterangan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Haslinda Che Seman, Nadia Mohd Izhar dan Christopher Enteri.
-- BERNAMA