BERLIN, 7 Mac (Bernama-dpa) -- Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kini sedang meneliti cadangan untuk menambah jumlah pasukan bertanding dalam Piala Dunia 2030 kepada 64 sebagai langkah khas sempena meraikan ulang tahun ke-100 kejohanan itu.
Cadangan itu dibangkitkan pada akhir mesyuarat lembaga pada Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Piala Dunia 2030 bakal berlangsung di Sepanyol, Maghribi dan Portugal, manakala Argentina, Paraguay dan Uruguay masing-masing diberikan satu perlawanan sebagai simbolik memperingati edisi sulung kejohanan yang berlangsung di Uruguay pada 1930.
Format kejohanan yang merangkumi tiga benua itu sudah pun dianggap sangat kompleks, baik dari segi logistik mahupun nilai kompetitif.
Namun, Presiden FIFA Gianni Infantino berjanji untuk meneliti secara mendalam cadangan pertambahan 16 pasukan lagi, lapor New York Times.
"Idea ini telah diambil perhatian. FIFA perlu mempertimbangkan sebarang cadangan yang dikemukakan oleh ahlinya," kata badan itu dalam satu kenyataan.
Piala Dunia sudah pun diperluaskan dari 32 ke 48 pasukan bagi edisi 2026 yang bakal berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
-- BERNAMA-dpa