ALOR SETAR, 8 Mac (Bernama) -- Ketua jurulatih interim Kedah Darul Aman (KDA) FC Victor Andrag memuji persembahan pemainnya yang memberi tentangan sengit kepada KL City FC sebelum tewas 2-3 dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, di sini malam tadi.
Beliau berkata KDA FC kini banyak bergantung kepada pemain muda disebabkan ramai pemain senior tidak turun berlatih hingga menyukarkan perancangan.
“Gabungan pemain bawah 23 Tahun (B-23) dan senior yang sedia komited untuk beraksi telah memberi ‘nafas baharu’ bagi pasukan. Sejak mengambil alih, saya banyak memberi peluang kepada pemain muda yang menunjukkan kesungguhan dalam latihan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan menentang KL City FC di sini, malam tadi.
Victor berharap pemain yang ada terus mengekalkan komitmen bagi menghadapi baki lima perlawanan Liga Super musim ini.
Terdahulu, media melaporkan beliau terpaksa mengharungi cabaran sukar apabila hanya bergantung kepada pemain sedia ada susulan isu dalaman yang menyebabkan ramai tonggak senior tidak hadir ke sesi latihan.
-- BERNAMA