BANGI, 7 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi amaran kepada pemimpin dan ahli politik agar tidak mempergunakan isu agama sebagai senjata politik demi kepentingan peribadi.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan menegaskan bahawa amalan sedemikian jika tidak dihentikan, boleh membawa kepada perpecahan kaum.
"Jika kita teruskan, ia akan membakar dan memusnahkan rakyat. Namun, pendirian kerajaan jelas dan tegas. Penghinaan terhadap manusia dan agama tidak boleh diterima, apatah lagi dalam negara kita.
"Saya ingin memberi peringatan, jangan gunakan agama sebagai senjata politik," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Teras Jernang, di sini, hari ini.
Anwar turut menekankan bahawa sebarang pandangan berkaitan agama harus disampaikan melalui saluran yang betul serta mematuhi peraturan dan undang-undang sedia ada.
“Ini bulan Ramadan, hari Jumaat yang mulia. Siapa melanggar, dia perlu ikut jalur hukum,” katanya sambil mengajak semua umat Islam menghormati bulan Ramadan yang mulia ini.
Beliau berkata tindakan tegas akan dikenakan kepada sesiapa sahaja yang menghina agama kerana perbuatan itu boleh memecahbelah perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum serta agama di negara ini.
"Islam adalah agama Persekutuan yang kita martabatkan, tetapi pada masa yang sama, kita juga perlu menjaga keharmonian," katanya.
Peringatan itu, susulan tindakan pihak tertentu yang menyebarkan kenyataan berbaur provokasi, penghinaan, dan mempermainkan agama di media sosial, termasuk dalam kalangan ahli politik.
Dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri semalam, Anwar telah mengingatkan semua pihak agar tidak mengambil kesempatan untuk mengapi-apikan sentimen perkauman serta menanam bibit kebencian dalam masyarakat.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang turut menggesa rakyat agar tidak menyebarkan kenyataan provokatif dan menghina agama lain, sambil mengingatkan mereka mengenai kesan buruk perbuatan tersebut terhadap keharmonian negara.
-- BERNAMA