DUNIA

Presiden Ghana Janji Pulihkan Kepercayaan Antara Blok Serantau

09/03/2025 01:54 PM

BAMAKO, 9 Mac (Bernama-Xinhua) -- Presiden Ghana, John Dramani Mahama pada Sabtu menegaskan komitmennya untuk memulihkan kepercayaan antara Perikatan Negara Sahel dan Komuniti Ekonomi Negara Afrika Barat (ECOWAS), lapor Xinhua.

Mengulas pertikaian yang berlarutan antara perikatan itu dan ECOWAS, Mahama mengakui wujudnya "keretakan dalam kepercayaan" dan menegaskan yang "kami akan melakukan segala yang mungkin untuk memulihkan kepercayaan ini."

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bamako semasa lawatannya ke Mali dan menegaskan yang lawatan itu bertujuan memperkukuh hubungan dua hala.

"Perbincangan kami tertumpu kepada hubungan dua hala, terutamanya pertukaran ekonomi dan sumbangan diaspora Mali di Ghana kepada ekonomi kedua-dua negara," katanya kepada media.

Kedua-dua pemimpin turut membincangkan usaha menghidupkan semula suruhanjaya kerjasama bersama serta isu keselamatan, khususnya memerangi keganasan.

Pada 28 Jan 2024, Burkina Faso, Mali dan Niger secara bersama mengumumkan hasrat untuk keluar daripada ECOWAS susulan sekatan yang dikenakan blok serantau itu bagi menekan junta tentera di negara berkenaan agar kembali kepada pemerintahan berperlembagaan.

Tiga negara yang berpisah daripada ECOWAS itu kemudian mengumumkan penubuhan Konfederasi Perikatan Negara Sahel pada sidang kemuncak pertama institusi itu di Nigeria pada 6 Julai 2024.

Sejak 29 Jan, Burkina Faso, Mali dan Niger bukan lagi anggota ECOWAS tetapi diberikan tempoh penangguhan untuk mempertimbangkan semula keputusan mereka. Sementara itu, Ghana memperkukuh hubungannya dengan Perikatan Negara Sahel dan menyatakan kesediaan untuk memudahkan penyertaan semula ketiga-tiga negara itu ke dalam ECOWAS.

-- BERNAMA-XINHUA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2400501