SUKAN

Terbuka New Zealand: Eain Yow Mara Ke Separuh Akhir

07/03/2025 08:20 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Pemain perseorangan skuasy lelaki negara Ng Eain Yow menjadi wakil tunggal negara yang mara ke pusingan separuh akhir Terbuka New Zealand 2025 selepas menewaskan rakan senegara Sanjay Jeeva, hari ini.

Dalam aksi yang berlangsung di Isaac Theatre Royal, Christchurch,  pilihan ketiga kejohanan itu tidak berdepan masalah untuk menang dengan straight set 11-2, 11-6, 11-5 dalam perlawanan yang berlangsung selama 33 minit.

Menanti Eain Yow di pusingan separuh akhir esok ialah pilihan kedua kejohanan dari Mesir, Marwan Elshorbagy yang mara selepas menumpaskan wakil Sepanyol, Iker Pajares,14-12, 11-2, 11-8.

Sementara itu, hasrat dua pemain wanita perseorangan negara, S. Sivasangari dan Rachel Arnold, untuk mara ke pusingan seterusnya tidak kesampaian apabila mereka tumpas kepada lawan masing-masing dari Mesir.

Sivasangari tumpas  kepada pilihan ketiga, Rowan Elaraby, 9-11, 6-11, 8-11, manakala Rachel juga ditunjukkan jalan keluar oleh pilihan kedua, Amina Orfi, 5-11, 6-11, 11-9, 5-11.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2400054