PASARAN

Niaga Hadapan Emas Dijangka Diniagakan Berhati-hati Minggu Depan

08/03/2025 10:11 AM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dengan pendekatan berhati-hati minggu depan.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata emas dijangka diniagakan dengan kecenderungan menaik antara US$2,900 dan US$2,950 setiap troy auns.

“Kenaikan berterusan akan bergantung kepada bagaimana data yang dikeluarkan pada awal bulan mempengaruhi landskap makro ekonomi.

"Jika ekonomi lemah secara berterusan, emas boleh meneruskan trajektori menaiknya kerana pasaran mengambil kira pelonggaran seterusnya oleh Rizab Persekutuan AS (Fed). Satu sokongan yang kukuh sedang menjadikan logam itu pada harga US$2,900 iaitu titik peralihan yang penting," katanya.

Katanya pada paras itu emas kekal kukuh walaupun hasil global lebih tinggi.

"Jika data senarai gaji bukan ladang AS mengubah keputusan dasar Fed untuk lebih bertenang, emas boleh menembusi paras lebih tinggi daripada itu, menjadikan paras sokongan ini sebagai batu loncatan untuk kenaikan seterusnya. Paras rintangan awal dijangka pada US$2,950,” tambahnya.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta Mac 2025 meningkat kepada US$2,928.60 setiap auns troy daripada US$2,867.20 sebelum ini, manakala kontrak April 2025 bertambah kepada US$2,938.40 setiap auns troy daripada US$2,879.90 setiap auns troy.

Sementara itu, kontrak Mei 2025, Jun 2025 dan Ogos 2025 semuanya ditutup pada US$2,946.80 setiap auns troy.

Jumlah dagangan meningkat kepada 491 lot pada minggu ini daripada 251 lot minggu lepas, manakala kepentingan terbuka melonjak kepada 140 kontrak daripada 37 kontrak sebelumnya.

Menurut penetapan London Bullion Market Association pada 6 Mac, harga emas fizikal berada pada US$2,922.20 setiap auns troy.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2400204