JENAYAH & MAHKAMAH

Penghuni Pusat Koreksional Perlis Meninggal Dunia, Dipercayai Terjatuh Di Bilik Air

08/03/2025 11:15 AM

KANGAR, 8 Mac (Bernama) -- Seorang penghuni Pusat Koreksional Perlis (Jabatan Penjara Malaysia) di Arau meninggal dunia semasa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini semalam, selepas dipercayai terjatuh di bilik air pada 6 Mac lepas.

Ketua Polis Daerah Arau Supt Ahmad Mohsin Md Rodi berkata doktor berkata lelaki berusia 23 tahun yang merupakan tahanan reman bagi kes dadah di bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu meninggal dunia pada 10.20 pagi semalam.

“Pada 6 Mac 2025, 5.45 petang, lelaki ini telah dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah oleh anggota Pusat Koreksional Perlis kerana dipercayai telah terjatuh di bilik air dan dalam keadaan separa sedar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Mohsin berkata pemeriksaan awal doktor mendapati mangsa yang berasal dari Langkawi itu mengalami kecederaan pada organ dalaman, iaitu bahagian hati dan sebahagian usus ketika mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, beliau berkata pemeriksaan luaran pada tubuh dia mendapati tiada sebarang kesan lebam mahupun kecederaan yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah dan terdapat kesan luka tiga sentimeter (cm) pada bahagian atas dahi kiri, dipercayai akibat terjatuh di bilik air selain tiada sebarang kesan lelaki itu diliwat.

“Setakat ini kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Bedah siasat akan dilakukan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, Kedah hari ini bagi mengetahui punca kematian serta kecederaan terhadap organ dalaman mangsa,” katanya.

Ahmad Mohsin memaklumkan lelaki berkenaan ditahan reman di pusat koreksional berkenaan sejak 17 Dis tahun lepas dan sedang menunggu untuk dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Majistret Langkawi.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2400240