AM

Jaga Batasan, Jangan Pandang Remeh Sentuh Isu 3R Di Media Sosial -- Nur Jazlan

08/03/2025 12:31 PM

JOHOR BAHRU, 8 Mac (Bernama) -- Orang ramai diingatkan agar tidak menyentuh isu berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R) di media sosial yang boleh menggugat keamanan negara.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata sentimen 3R tidak boleh dipandang remeh dan setiap individu perlu menjaga batasan serta sensitiviti.

“Malaysia ini (sentimen) 3R (orang ramai) mesti tahu batas, jangan pandang ringan, remeh dan buat lawak sehingga sampai sensitiviti kaum disentuh,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Program Outreach Ihya Ramadan 2025 anjuran Parlimen Malaysia, di sini semalam.

Beliau berkata kerajaan sentiasa menekankan aspek perpaduan terutama terhadap golongan muda dengan memberikan pelbagai pendedahan termasuk menerusi inisiatif Parlimen Belia, yang merupakan antara usaha kerajaan memberi kesedaran mengenai kepentingan dan peranan Parlimen dalam meneruskan demokrasi di negara ini. 

“Kita mahu melahirkan belia yang lebih matang, faham mengenai perjalanan demokrasi dan peranan eksekutif serta Parlimen dalam pentadbiran negara. Parlimen Belia ini melibatkan kesemua 222 Parlimen, jadi mereka dapat belajar mengenai perjalanan Parlimen,” katanya.

Terdahulu Nur Jazlan berkata Program Outreach Ihya Ramadan anjuran Parlimen Malaysia menerusi Dewan Negara itu menjadi platform bagi mendekati golongan belia menerusi sesi Dialog Demokrasi Berparlimen dan Kenegaraan selain turut mengagihkan 1,200 pack bubur lambuk dan berbuka puasa bersama mereka.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2400267