MANJUNG, 9 Mac (Bernama) -- Pemain terlalu gopoh dan tertekan untuk menjaringkan gol menjadi punca Perak FC gagal memanfaatkan kelebihan bermain di halaman sendiri dan sekadar seri tanpa jaringan pada aksi Liga Super 2024/25 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) malam tadi.
Pengendalinya Yusri Che Lah mengakui kecemerlangan penjaga gol Negeri Sembilan FC Muhamad Aqil Abdul Razak antara punca skuadnya gagal meraih tiga mata walaupun pasukan lawan bermain dengan 10 pemain.
"Saya memberi pujian kepada penjaga gol lawan yang beraksi cemerlang, kami ada dua peluang separuh masa pertama dan empat peluang pada masa kedua.
"Pemain saya tertekan untuk mendapatkan jaringan, dan percubaan demi percubaan yang dihalang menyebabkan semangat anak buah saya menjadi semakin kendur, akhirnya terpaksa berpuas hati dengan satu mata sahaja," katanya dalam sidang media selepas aksi malam tadi.
Bagaimanapun, Yusri berkata secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan apa yang disajikan pemainnya semalam.
Sementara itu, Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC K. Nanthakumar berpuas hati dengan persembahan dipamerkan pemain apabila berjaya mengutip satu mata berharga di Manjung.
Pengendali yang juga bekas pemain Perak itu berkata walaupun diberikan tentangan sengit oleh pemain skuad The Bos Gaurus, anak buahnya berjaya mengawal permainan dengan baik serta berjaya menyekat gerakan pihak lawan.
"Sepanjang perlawanan kami diserang bertubi-tubi, tapi pemain bertahan dengan baik terutamanya Muhamad Aqil yang banyak menafikan usaha Perak.
"Beliau (Muhamad Aqil) adalah pemain terbaik malam ini yang menunjukkan aksi luar biasa, malah kita hanya bermain 10 pemain dan beliau dapat menyelamatkan banyak percubaan bahaya dari pemain Perak pada separuh masa kedua," katanya.
Nanthakumar mengakui beliau berdepan dengan tugas yang mencabar susulan keadaan pasukan bimbingannya yang terus bergelut untuk mendapatkan kemenangan ketika saingan musim ini sudah menghampiri penghujungnya.
"Satu tugas mencabar untuk pastikan pasukan dapat menamatkan saingan liga di kedudukan yang baik dan menjadi harapan saya untuk laksanakan tugas sebaik mungkin.
"Kita masih ada baki empat perlawanan lagi dan saya harap Negeri Sembilan dapat memenangi kesemua perlawanan itu, tekad saya ialah untuk dapatkan semua 12 mata," katanya.
-- BERNAMA