AM

Jalan Keningau-Tenom Ditutup Susulan Tanah Runtuh - JKR Sabah

08/03/2025 03:52 PM

KOTA KINABALU, 8 Mac (Bernama) -- Jalan Keningau-Tenom di Kilometer 151.950/142.250 ditutup bermula hari ini atas faktor keselamatan susulan kejadian tanah runtuh.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dalam kenyataan memaklumkan kerja-kerja penyediaan laluan lencongan sedang giat dijalankan, namun jika hujan berterusan dan runtuhan masih aktif, penutupan jalan terpaksa dilanjutkan.

“Pengguna dinasihatkan menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Tenom-Sipitang (melalui Sipitang),” menurut kenyataan itu hari ini.

Sementara itu, JKR Sabah turut memaklumkan Jalan Keningau-Kimanis juga ditutup sepenuhnya sejak 4 Mac demi keselamatan pengguna kerana kejadian tanah runtuh masih dikesan di laluan berkenaan.

“Orang ramai dari Kota Kinabalu ke Keningau atau Tenom dinasihatkan agar menggunakan jalan alternatif melalui Tambunan (Kota Kinabalu-Keningau-Tenom).

"JKR membuat pemantauan berterusan dan kerja-kerja pembersihan masih dilaksanakan, bagaimanapun ia bergantung kepada keadaan di lokasi, sekiranya cuaca tidak mengizinkan dan runtuhan masih aktif, penutupan jalan terpaksa dilanjutkan," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2400314