DUNIA

Panglima Angkatan Tentera Udara Korea Selatan Mohon Maaf Atas Insiden Pengeboman

10/03/2025 02:11 PM

SEOUL, 10 Mac (Bernama-Yonhap) -- Panglima Angkatan Tentera Udara Korea Selatan pada Isnin mengemukakan permohonan maaf secara terbuka susulan insiden pengeboman di sebuah perkampungan awam minggu lalu, sambil menyifatkannya sebagai kejadian yang "tidak sepatutnya berlaku." 

Agensi Berita Yonhap melaporkan dua jet pejuang KF-16 secara secara tidak sengaja menjatuhkan lapan bom MK-82 di luar kawasan latihan di Pocheon, kira-kira 40 kilometer di utara Seoul pada Khamis.

Insiden itu mengakibatkan 29 individu cedera, termasuk 15 orang awam. 

"Tentera Udara yang sepatutnya melindungi nyawa dan harta rakyat, telah mendatangkan kemudaratan kepada rakyat.

"Ia adalah satu insiden yang tidak sepatutnya berlaku dan tidak boleh berulang lagi," kata Ketua Staf Tentera Udara Jeneral Lee Young-su dalam sidang media.   

Lee mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden itu, disifatkan sebagai pengeboman tidak disengajakan yang belum pernah berlaku sebelum ini, serta berjanji akan mengambil langkah pencegahan bagi memastikan insiden serupa tidak berulang. 

Beliau turut berikrar untuk memberikan bantuan penuh kepada penduduk yang terkesan bagi membantu mereka kembali kepada kehidupan harian, termasuk menyediakan pampasan serta sokongan perubatan dan krisis. 

Kesilapan juruterbang dipercayai menjadi punca kejadian apabila seorang daripada mereka memasukkan koordinat salah sebelum berlepas, menurut siasatan awal Tentera Udara. 

-- BERNAMA-YONHAP

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2400749