AM

Pindaan Akta 333 Sokong Pembangunan Teknologi Automotif Negara - Hasbi

10/03/2025 02:31 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Pindaan Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dilakukan bagi memastikan perundangan negara selari dengan perkembangan teknologi sekali gus menyokong inovasi dan pembangunan sektor automotif.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata pindaan pada 2024 itu yang telah diwartakan memasukkan aspek teknikal berkaitan pembinaan dan penggunaan kenderaan pemanduan autonomi (AV), kenderaan elektrik (EV) serta kenderaan cekap tenaga (EEV).

“Bagi penggunaan kenderaan berteknologi pintar seperti AV, kementerian dengan kerjasama pemain industri automotif telah melaksanakan siri pengujian AV berpandukan Garis Panduan Pengujian Kenderaan Pemanduan Autonomi di Jalan Raya yang dibangunkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Futurise.

“Melalui pelaksanaan ujian ini, penemuan teknikal, hasil pengujian dan pandangan pemegang taruh akan dikaji dengan teliti untuk memastikan pembangunan peraturan yang bakal mengawal selia teknologi ini adalah menyeluruh dan bersesuaian dengan keperluan industri,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Senator Datuk Dr Ahmad Azam Hamzah yang ingin tahu adakah kementerian bercadang meneroka penggunaan teknologi seperti kereta pandu sendiri atau sistem kereta api tanpa pemandu serta apakah persediaan yang telah dibuat untuk mengadaptasi teknologi berkenaan.

Hasbi berkata garis panduan ini bagi memastikan pengujian AV di Malaysia dilakukan secara selamat selaras dengan perundangan sedia ada dan menekankan aspek pelaporan serta kawalan yang jelas.

“Ia turut menggariskan keperluan teknikal yang perlu dipatuhi, termasuk spesifikasi komponen kenderaan, sistem keselamatan AV dan prosedur pengujian yang ditetapkan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2400748