PASARAN

Bursa Malaysia Kekal Rendah Pada Tengah Hari

10/03/2025 02:33 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal rendah pada tengah hari ini berikutan tekanan jualan dalam saham wajaran tinggi terpilih, diterajui oleh sektor utiliti, produk dan perkhidmatan pengguna serta pengangkutan dan logistik.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 2.97 mata atau 0.19 peratus kepada 1,544.30 daripada 1,547.27 pada Jumaat lepas.  

Tenaga Nasional berkurangan 12 sen kepada RM13.62, Nestle susut RM2.94 kepada RM69.20 dan MISC merosot 12 sen kepada RM6.94. Kaunter ini menyebabkan indeks komposit susut dengan gabungan 3.26 mata. 

Indeks petunjuk pasaran, yang dibuka rendah 1.69 mata kepada 1,545.58, bergerak antara 1,538.60 dan 1,550.0 pada sesi dagangan pagi.

Suasana pasaran negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 617 berbanding 242, dengan 399 kaunter tidak berubah, 1,124 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung. 

Jumlah dagangan sebanyak 1.96 bilion saham bernilai RM1.08 bilion.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI merosot kepada paras terendah setakat ini pada tahun ini di bawah paras 1,550 pada Jumaat lepas sejajar dengan penurunan di peringkat serantau.

“Bagaimanapun, kami menjangka pemulihan yang lancar, justeru menjangka indeks akan berada antara 1,550 dan 1,565 hari ini.

“Pada asasnya, bursa tempatan kekal kukuh berikutan keputusan pendapatan baru-baru ini menunjukkan pertumbuhan 2025 dijangka pada 9.2 peratus selepas mencatatkan pertumbuhan sebanyak 16.4 peratus pada 2024,” katanya kepada Bernama. 

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata aktiviti belian saham pada harga rendah dijangka dalam saham perbankan selepas jualan baru-baru ini, disokong oleh pertumbuhan pinjaman yang stabil dan dividen yang menarik manakala REIT dijangka mendapat perhatian selepas pemulihan yang stabil dalam jumlah pengunjung.

“Kami berpendapat penangguhan kenaikan tarif sebanyak 30 peratus untuk tarif pelabuhan dapat memberi potensi kenaikan kepada pemain logistik tempatan terutamanya yang terlibat dalam pengendalian dan penyimpanan kontena.

“Kami menjangka peluang dagangan dalam saham perladangan berikutan lonjakan harga minyak sawit mentah baru-baru ini,” katanya.

Bagi saham wajaran tinggi lain, Petronas Gas merosot 26 sen kepada RM16.62, Axiata berkurangan lima sen kepada RM1.83, Petronas Dagangan susut 42 sen kepada RM17.26, bagaimanapun CIMB naik lapan sen kepada RM7.60 dan IHH Healthcare meningkat enam sen kepada RM7.32. 

Bagi saham aktif, My EG Services menambah setengah sen kepada 90.5 sen, SNS Network Technology naik satu sen kepada 41.5 sen, NationGate berkurangan 16 sen kepada RM1.17 manakala  Sapura Energy dan NexG, masing-masing mendatar pada 3.5 sen dan 27 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 44.56 mata kepada 11,476.24, Indeks FBM 70 merosot 120.82 mata kepada 16,221.65, Indeks FBM Emas Shariah susut 94.81 mata kepada 11,085.14, Indeks FBM ACE turun 53.47 mata kepada 4,534.32 dan Indeks FBMT 100 merosot 38.15 mata kepada 11,257.40.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 6.71 mata kepada 7,486.79, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 19.77 mata kepada 19,086.45, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.97 mata kepada 154.26 dan Indeks Tenaga berkurangan 4.57 mata kepada 710.47.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2400772