TASEK GELUGOR, 8 Mac (Bernama) -- Polis telah mengenal pasti empat lelaki yang terlibat dalam kes menyerang dan menetak seorang lelaki warga Myanmar hingga maut di sebuah restoran di Taman Sepadu Jaya, di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata pihaknya sedang giat mengesan empat lelaki tempatan itu bagi membantu siasatan kes.
"Siasatan lanjut kes itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Semalam media melaporkan polis menerima laporan kejadian itu daripada seorang lelaki tempatan pada 3.20 pagi memaklumkan empat lelaki tidak dikenali bersenjatakan parang telah menyerang seorang lelaki Myanmar, yang juga pekerja restoran terbabit.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Anuar Abdul Rahman dilaporkan berkata siasatan awal mendapati empat lelaki itu memakai topi dan penutup muka, bersenjatakan parang serta menaiki sebuah kereta warna gelap.
Beliau berkata suspek kemudian turun dari kenderaan dan terus menyerang mangsa yang ketika itu sedang bekerja di restoran tersebut sebelum mereka melarikan diri menggunakan kenderaan sama, manakala pegawai perubatan Hospital Kepala Batas (HKB) yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa yang berusia 38 tahun telah meninggal dunia akibat kecederaan parah.
Terdapat kesan tetakan pada bahagian lengan belakang tangan kanan, kepala dan beberapa kesan luka di bahagian belakang badan si mati dan mayat dibawa ke Jabatan Forensik HKB untuk bedah siasat.
-- BERNAMA