POLITIK

MOU Peruntukan Pembangkang: PN Tidak Pernah Kemuka Cadangan Balas - TPM Fadillah

10/03/2025 05:58 PM

PUTRAJAYA, 10 Mac (Bernama) -- Perikatan Nasional (PN) tidak pernah mengemukakan cadangan balas mengenai memorandum persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang  kepada kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Ketua Jawatankuasa Majlis Perundingan Kerajaan berkata dakwaan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa syarat ditetapkan dalam MoU berkenaan adalah luar biasa dan ketat hanya diketahui daripada laporan media.

"Setakat ini saya tak menerima cadangan balas, memang kita dah kemukakan malahan saya dah paparkan kepada media apa bentuk MoU, terma-terma dan rakyat juga mengetahui.

"Kalau tak bersetuju, boleh kemukakan cadangan balas tapi apa yang berlaku sebenarnya mereka dah menolak bulat-bulat mengatakan benda ni terlalu ketat," katanya kepada media selepas Program Ihya Ramadan yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semalam, Muhyiddin mendakwa PN mempunyai sebab dan asas tersendiri untuk tidak bersetuju dengan syarat ditetapkan kerajaan dalam isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Fadillah berkata setakat ini kerajaan hanya menerima maklum balas mengenai MoU itu daripada Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Justeru, beliau berkata kerajaan sentiasa terbuka menerima cadangan atau maklum balas daripada pihak pembangkang mengenai MoU itu.

"Tunggulah (jika ada) cadangan balas. Kalau ada, saya akan bincang, bawakan mesyuarat di peringkat jawatankuasa parti-parti dalam kerajaan MADANI.

"Kemudian kita panggil mereka untuk bincang. Tidak ada perbincangan sehingga mereka kemukakan cadangan balas," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2400891