KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Seorang senator mencadangkan sekolah vernakular sedia ada dikekalkan tetapi dengan syarat penguasaan Bahasa Melayu dan Sejarah diutamakan selari dengan sukatan pelajaran pengajaran dan pembelajaran (PdP) sekolah kebangsaan.
Senator Datuk Dr Azhar Ahmad berkata walaupun Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan membenarkan kewujudan sekolah vernakular untuk melahirkan wajah Malaysia yang sebenar, standard bahasa kebangsaan dan sejarah negara perlu diseragamkan di semua sekolah.
"Saya cadangkan, kekalkan saja sekolah vernakular, tetapi Bahasa Melayu menjadi bahasa utama di sekolah vernakular… (begitu juga), Sejarah, tatanegara kenegaraan menjadi teras di sekolah. Maksud saya, apa sahaja untuk negara kena diberi keutamaan.
"Jangan ajar bahasa lain itu diletakkan nombor satu. Itulah masalahnya sekolah itu yang ajar lain daripada kokurikulum nasional," katanya ketika sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara hari ini.
Azhar juga menekankan sekiranya sekolah vernakular tidak memperkenalkan kokurikulum nasional seperti disarankan oleh pihak tertentu, ia akan menyukarkan proses integrasi dan melahirkan generasi bangsa yang benar-benar memahami semangat kebangsaan.
Menyentuh sesetengah ahli politik yang mencadangkan agar sekolah vernakular dihapuskan, beliau berpandangan pendekatan yang diambil perlulah berlandaskan kebijaksanaan, bukan cara tergesa-gesa atau menggunakan pendekatan integrasi semata-mata yang akhirnya mewujudkan polemik baharu.
Senator Mustafa Musa ketika mencelah turut mencadangkan langkah pertama ke arah itu adalah menyeragamkan dahulu penguasaan Bahasa Melayu di sekolah vernakular selari dengan sekolah kebangsaan yang ketika ini terdapat perbezaan.
"Kayu pengukur terhadap kefasihan, kecekapan dan penaakulan bahasa di sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan sangat berbeza dan inilah yang menyebabkan kelahiran daripada sekolah vernakular itu tidak menguasai kemahiran komunikasi Bahasa Melayu," katanya.
Turut senada, Senator Nik Mohamad Abduh Naik Abdul Aziz berkata isu pendidikan melibatkan sekolah vernakular perlu ditangani secara menyeluruh berdasarkan kajian yang telus.
“Kalau isu pendidikan, Kementerian Pendidikan perlu menyelesaikannya di peringkat kokurikulum dan berkaitan sekolah vernakular ini, saya kira ia bukan hanya melibatkan pembangkang malah kerajaan mesti telus membuat kajian yang sebaik-baiknya.
“Kita mesti pergi kepada isu sebenar sekiranya betul maka lakukan yang terbaik untuk memastikan masa depan negara terus gagah dengan perpaduan yang telah dibina oleh ayah-ayah kita yang terdahulu," katanya.
Mengenai ibu bapa yang masih memasukkan anak-anak mereka ke sekolah vernakular, Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh pula berpandangan sudah tiba masanya kerajaan mengkaji semula kualiti PdP sekolah kebangsaan.
Beliau berkata kerajaan perlu memastikan sekolah kebangsaan menawarkan sistem pendidikan berkualiti, dan memperkenalkan pembelajaran bahasa lain yang akan mendorong ibu bapa tanpa mengira bangsa memilih menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan.
Persidangan Dewan Negara bersambung esok.
-- BERNAMA