AM

Jabatan Kesihatan Cari Jalan Penyelesaian Masalah Parkir Di Hospital Queen Elizabeth II

09/03/2025 05:10 PM

KOTA KINABALU, 9 Mac (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sedang berusaha mencari jalan penyelesaian kepada masalah tempat letak kereta di Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) yang sering mengalami banjir dan berlubang, sekali gus menyukarkan pengguna.

Pengarah JKNS Dr Maria Suleiman berkata kawasan tempat letak kereta itu sebenarnya tanah milik Qhazanah Sabah Berhad yang dipinjamkan secara ihsan untuk kegunaan awam.

“Tapak yang dipinjamkan itu boleh menampung kira-kira 300 kenderaan dan sering digunakan oleh kakitangan, pelawat serta pesakit HQEII sebagai alternatif kepada jumlah parkir hospital yang terhad.

“Bagaimanapun, keadaan cuaca yang tidak menentu kebelakangan ini menyebabkan kawasan parkir itu mengalami masalah air bertakung dan berlubang, sekali gus menjejaskan keselesaan pengguna,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr Maria berkata JKNS dan pihak hospital memahami kesulitan berkaitan situasi itu dan telah mengadakan perbincangan bersama pemimpin tempatan serta pihak berkepentingan bagi merangka langkah-langkah penambahbaikan yang lebih efektif.

“Ini termasuk potensi perluasan dan pembaikan kawasan parkir bagi meningkatkan aksesibiliti kepada pesakit, pelawat serta kakitangan hospital,” katanya.

Dr Maria berkata JKNS mengalu-alukan kerjasama semua pihak, termasuk pemimpin tempatan dan pihak berkuasa berkaitan dalam mencari penyelesaian terbaik untuk kesejahteraan pesakit dan pengguna hospital.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2400546