KOTA BHARU, 9 Mac (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan cubaan menyeludup 42,700 biji kelapa ke Thailand membabitkan nilai rampasan keseluruhan RM1.2 juta di sebuah stor di pangkalan haram Jalan Kasban, Tumpat, Jumaat lepas.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata rampasan tersebut dilakukan Batalion 7 PGA menerusi Op Taring Wawasan pada 10.30 malam.
"Rampasan ini dilakukan selepas kami menahan tiga lelaki disyaki menyeludup kelapa di stor pangkalan haram itu dan pemeriksaan mendapati terdapat 42,700 biji kelapa ditemui dalam sebuah treler dipercayai untuk diseludup ke Thailand.
"Tiga lelaki tempatan berusia 22 hingga 38 tahun dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup kelapa berkenaan ke Thailand," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata nilai keseluruhan rampasan RM1.2 juta termasuk kenderaan dan kes disiasat di bawah Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan 1965 (FAMA).
Nik Ros Azhan berkata kesemua suspek dan barang rampasan dibawa ke Komtak PGA Pengkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya.
Di lokasi berlainan, beliau berkata Batalion 7 PGA turut merampas 260 anak pokok hiasan dengan nilai keseluruhan RM12,600, yang dikesan dalam sekatan jalan raya (SJR) di Lalang Pepuyu, Tanah Merah pada 12 tengah hari, Jumaat lepas
Beliau berkata rampasan itu dilakukan setelah pihaknya menahan sebuah van dalam keadaan mencurigakan semasa menjalankan tugas dalam Op Taring Wawasan.
“Kesemua 260 anak pokok hiasan ini ditemui di dalam van dan ia disyaki mempunyai serangga perosak serta penyakit. Pemandu lelaki berusia 34 tahun dipercayai menjadi penghantar tanaman tersebut ke pasaran tempatan," katanya.
Nik Ros Azhan berkata kes disiasat di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167) Seksyen 5, manakala suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Biosekuriti Tumbuhan Kelantan bagi tindakan selanjutnya.
--BERNAMA