AM

Orang Ramai Buat Persiapan Awal Hari Raya, Elak Bersesak-sesak

09/03/2025 06:01 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Meskipun baru seminggu umat Islam berpuasa, orang ramai sudah mula sibuk menyediakan persiapan bagi menyambut Aidilfitri yang bakal menjelma.

Tinjauan Bernama mendapati pusat beli-belah di ibu kota dipenuhi orang ramai yang mengambil peluang cuti hujung minggu untuk membeli persiapan hari raya. 

Seorang jurutera, Syamil Ali, 31, dari Subang Jaya berkata dia lebih selesa membuat persiapan lebih awal kerana tidak mahu bersesak-sesak di saat akhir.  

“Saya memang tidak suka membeli dalam keadaan sesak ditambah dengan panas nanti jadi kelam kabut, lagi pun isteri saya sekarang sedang sarat mengandung,” katanya ketika ditemui di sini hari ini. 

Syamil mengakui baju raya dijual di pusat beli-belah mungkin lebih mahal berbanding di gerai bazar Aidilfitri tetapi baginya keselesaan ketika membeli lebih menjadi keutamaan.

“Memang agak mahal tapi ada juga yang dijual pada harga yang mampu milik ikut, bajet masing-masing… bahkan ada juga baju raya yang diberikan pada harga diskaun jika kena pandai cari,” katanya. 

Sementara itu, pembantu tadbir Nurul Shuhada Mad Nadir, 33, dari Setapak berkata meskipun baru seminggu berpuasa persiapan hari raya buat keluarganya hampir siap.

“Saya suka buat persiapan awal sebab tidak perlu bersesak-sesak lebih-lebih lagi saya bawa anak kecil. Membeli dalam keadaan bersesak-sesak dan di saat akhir memang akan jadi susah,” katanya menambah kos membeli pakaian raya untuk diri dan keluarganya tahun ini mencecah RM1,000. 

Penjawat awam Noor Zaini Abdullah, 36, dari Raub, Pahang berkata persiapan hari raya untuk dirinya dan keluarga setakat ini hampir selesai dan masa yang ada sebelum raya dapat difokuskan untuk menjalankan ibadah puasa dengan lebih tenang. 

“Setiap tahun memang kami akan ke Kuala Lumpur untuk mencari barangan keperluan raya. Beli awal kita tidak kelam-kabut sangat, orang pun belum ramai sangat lagi, jadi kita tidak bersesak-sesak,” katanya. 

Peniaga Nur Haniza Mohd Syofir, 23, berkata orang ramai kini memilih untuk membeli baju raya lebih awal bagi memastikan pakaian yang diinginkan tidak kehabisan stok.

“Saya rasa sebab itu juga orang ramai lebih suka beli lebih awal kerana mungkin lebih banyak rekaan baru ditawarkan dan lebih banyak saiz,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2400563