DUNIA

Rusia Tarik Balik Akreditasi Dua Diplomat UK Atas Dakwaan Aktiviti Perisikan

10/03/2025 06:39 PM

MOSCOW, 10 Mac (Bernama-TASS) -- Setiausaha kedua kedutaan Britain di Moscow dan pasangan kepada seorang lagi diplomat Britain ditarik balik akreditasi mereka di Rusia kerana memberikan maklumat palsu tentang diri mereka dan berdasarkan bukti perisikan dan aktiviti rahsia mereka, lapor Agensi Berita Rusia (TASS).

"Operasi perisikan balas Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan mendedahkan kehadiran perisikan United Kingdom yang tidak dilaporkan di bawah perlindungan kedutaan negara itu di Moscow," menurut Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB) dalam satu kenyataan.

"Sudah dipastikan bahawa Setiausaha Kedua kedutaan, Alkesh Odedra, lahir pada 25 Dis 1990, dan Michael Skinner, lahir pada 30 Jun 1992, pasangan kepada Tabassum Rashid, setiausaha pertama jabatan politik kedutaa, sengaja memberikan maklumat palsu semasa mendapatkan kebenaran untuk memasuki negara kami, sekali gus melanggar undang-undang Rusia.

FSB juga menemui bukti aktiviti perisikan dan gangguan yang dilakukan oleh kedua-dua diplomat itu yang mengancam keselamatan Persekutuan Rusia," tambah FSB.

"Atas dasar ini, Kementerian Luar Rusia dengan penyelarasan agensi berkepentingan lain, memutuskan untuk menarik balik akreditasi Alkesh Odedra dan Michael Skinner. Mereka dikehendaki meninggalkan Rusia dalam tempoh dua minggu," jelas perkhidmatan keselamatan itu.

"FSB Rusia akan terus berusaha memerangi aktiviti perisikan dan gangguan oeh agensi perisikan asing dengan semua cara yang ada," tambah kenyataan itu.

-- BERNAMA-TASS

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2400927