AM

Gobind Gesa Tindakan Tegas Terhadap Pihak Cetus Kebencian Agama, Perkauman

10/03/2025 06:16 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Menteri Digital Gobind Singh Deo sekali lagi mengulangi keperluan untuk bertindak tegas terhadap individu yang mencetuskan kebencian agama atau perkauman.

Beliau berkata perkara itu dibangkitkan pada mesyuarat Kabinet Jumaat lepas yang memutuskan bahawa langkah tegas perlu diambil dalam kes sedemikian.

Kenyataan mengenai isu itu turut dikeluarkan oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil pada hari yang sama sekali gus menekankan kepentingan isu itu.

"Laporan polis telah dibuat dan kenyataan telah diambil daripada pelbagai individu. Walaupun begitu, ada yang terus mengulangi perbuatan sedemikian yang hanya memburukkan lagi isu ini," katanya dalam kenyataan.

Beliau menekankan bahawa peruntukan undang-undang sudah ada untuk menangani situasi sedemikian namun penguatkuasaannya perlu tegas. 

"Kita tidak boleh biarkan kenyataan menghina agama dibiarkan tanpa ditangani. Tindakan undang-undang mesti diambil sebagai pengajaran (kepada masyarakat) bahawa tiada tolak ansur dalam menghina mana-mana agama," katanya.

Pada 7 Mac, Fahmi memaklumkan bahawa semua badan penguatkuasaan dan agensi keselamatan telah diarahkan untuk mengambil tindakan pantas dan berkesan, tanpa kompromi, terhadap sesiapa yang cuba mencetuskan kebencian kaum atau agama.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan arahan itu semasa mesyuarat Kabinet berkenaan.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata mesyuarat itu turut membincangkan dan meneliti pelbagai isu semasa.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2400915