AM

Projek Pembesaran LTAPP Berjalan Lancar, Terminal Baharu Siap 2027

10/03/2025 06:17 PM

GEORGE TOWN, 10 Mac (Bernama) -- Projek pembesaran dan naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) berjalan lancar dengan kemajuan ketara dalam pelbagai pakej, kata Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari. 

Beliau berkata projek itu meliputi tiga pakej kerja (WP) utama, dengan setiap satu direka bagi meningkatkan infrastruktur lapangan terbang dan kapasiti operasi, termasuk kerja persediaan, penambahbaikan kemudahan penerbangan udara (airside facility) dan pembinaan bangunan terminal baharu. 

"Pakej kerja pertama (WP1) telah dianugerahkan kepada Gagasan Maya Sdn Bhd pada September 2024 dengan nilai kontrak RM107.9 juta, dan setakat 15 Feb, WP1 sudah mencapai 31 peratus kemajuan fizikal, dengan jangkaan siap ialah pada November 2025. 

"Pakej ini melibatkan kerja-kerja kritikal menaik taraf dan kerja-kerja pembinaan, termasuk bangunan tambahan, Menara Kawalan Trafik Udara (ATC), pejabat Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan pos kawalan Bahagian Keselamatan Penerbangan (AVSEC)," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Zairil berkata projek itu juga bakal menyaksikan pengenalan menara maya digital jarak jauh (RDVT), menjadikan LTAPP sebagai lapangan terbang pertama di Asia Tenggara menggunakan teknologi canggih tersebut. 

Beliau berkata pembinaan fizikal bagi kerja-kerja pakej kedua (WP2) akan bermula pertengahan April ini, dan pakej itu dianugerahkan kepada Acre Works Sdn Bhd pada Disember 2024 dengan nilai kontrak RM254.6 juta yang memberi tumpuan kepada kerja naik taraf apron lapangan terbang, laluan teksi pesawat, saliran airside, pengalihan utiliti dan kerja inftrastruktur berkaitan. 

Sementara itu, beliau berkata tender pakej kerja ketiga (WP3) melibatkan pembinaan bangunan teminal baharu dan pengubahsuaian terminal sedia ada termasuk kerja-kerja infrastruktur dalaman, perkhidmatan bangunan dan tambah baik hiasan dalaman, dijangka dibuka pada April 2025. 

Zairil berkata terminal baharu itu dijangka beroperasi pada 2027, dengan sasaran keseluruhan projek siap sepenuhnya pada 2028. 

"Projek pembesaran ini langkah penting untuk menampung peningkatan penumpang di LTAPP selain menambah baik fasiliti keseluruhan lapangan terbang. Ini akan mengukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai hab penerbangan serantau utama dan menyokong perkembangan ekonomi negeri serta kesalinghubungan," katanya.

Pada Februari 2024 Menteri Pengangkutan Anthony Loke memberitahu bahawa kerajaan telah meluluskan projek pembesaran LTAPP dengan pengumumannya dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pembentangan Belanjawan 2025 pada Okt 18 tahun lepas. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2400911