KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Jemaah Menteri disarankan menimbang dan meluluskan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) sebagai badan kawal selia utama dalam memastikan ekosistem ekonomi gig berkembang secara mampan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan perkara berkenaan dalam kenyataan hari ini, selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) SEGiM bagi memperhalusi hala tuju dan strategi utama dalam memperkukuh industri gig negara.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata SEGiM akan memberi tumpuan kepada komponen kritikal dalam model ekonomi gig dan aspek yang memerlukan pengawalseliaan.
“SEGiM akan memainkan peranan penting dalam menyeimbangkan kepentingan penyedia platform, pekerja gig, pengguna serta semua pihak berkepentingan, memastikan hak mereka dilindungi melalui penguatkuasaan dasar yang telus, pemantauan standard perkhidmatan serta pemerkasaan kawal selia kendiri dalam industri gig.
“Langkah ini juga akan menggalakkan piawaian industri yang lebih mampan, progresif dan berdaya saing bagi menyesuaikan diri dengan landskap ekonomi digital yang berkembang pesat,” katanya.
Ahmad Zahid berkata usaha ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk merangka rang undang-undang holistik dan inklusif, mengambil kira pandangan daripada semua pemegang taruh termasuk pemain industri serta jutaan pekerja gig yang bergantung kepada ekonomi digital sebagai sumber pendapatan mereka.
Beliau berkata asas penubuhan SEGiM yang disediakan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) melalui Kementerian Digital turut diperhalusi mesyuarat hari ini.
Selain itu, beliau berkata kerajaan mengambil maklum syor MDEC supaya penggubalan akta tubuh bagi SEGiM dilaksanakan secara bersama dengan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, selepas mendapat persetujuan daripada Jemaah Menteri.
“Kerajaan kekal komited dalam memperkukuh sektor ekonomi gig bagi menjamin kesejahteraan pekerja gig dan kestabilan ekosistem ekonomi digital negara.
“Langkah ini bukan sekadar memastikan keadilan dan perlindungan sosial, tetapi juga membuka lebih banyak peluang kepada rakyat dalam era ekonomi digital yang dinamik dan kompetitif,” katanya.
-- BERNAMA