AM

Lebih 100 Lot Tanah Akan Diambil Untuk Binaan Jajaran LRT Laluan Mutiara - Chow

12/03/2025 04:50 PM

GEORGE TOWN, 12 Mac (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang menjangkakan lebih 100 lot tanah akan diambil alih bagi melaksanakan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara, dengan kerja-kerja fizikal projek itu bermula suku ketiga tahun ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK) hari ini telah meluluskan cadangan pengambilan tanah di lot-lot tersebut dan seterusnya ia akan diwartakan sebelum notis dikeluarkan kepada pemilik tanah.

“Pejabat Tanah dan Galian telah mencadangkan supaya tanah di sepanjang jajaran LRT itu iaitu di daerah Timur Laut dan Barat Daya diambil alih, ia melibatkan lebih 100 lot tanah termasuk tanah persendirian dan kerajaan negeri serta milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang.

“Notis Seksyen 8 bagi proses pengambilan akan dikeluarkan selepas semua perincian lot tanah dimuktamadkan oleh pihak berkuasa berkaitan, kemudian proses pendengaran bagi pemilik tanah dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan,” katanya pada sidang media di bangunan Komtar di sini hari ini.

Beliau berkata kelulusan itu sebahagian daripada langkah penting untuk memastikan projek LRT Laluan Mutiara dapat dilaksanakan mengikut perancangan dan berjalan lancar seperti dijadual.

Chow memaklumkan jumlah pampasan untuk semua tanah-tanah itu belum diputuskan, kerana ia masih perlu dinilai oleh agensi berkaitan dan kemudian akan ada perbincangan mengenai pampasan dengan pemilik tanah, dan pemilik boleh menerima atau mengemukakan bantahan terhadap penilaian pampasan yang diberikan.

Mengenai kemajuan projek LRT, Chow berkata pada masa ini bengkel pengurusan nilai sedang diadakan oleh Kementerian Ekonomi, MRT Corportation (MRTC) dan Konsortium SRS untuk memuktamadkan reka bentuk dan kos bagi projek itu.

Ditanya mengenai pembangunan semula Tapak Pesta, beliau berkata ia akan menjadi pembangunan berorientasikan transit kerana kawasan tanah di tapak tersebut cukup luas.

Chow menjelaskan MRTC telah mencadangkan pembangunan di situ dengan mengekalkan Tapak Pesta, kerana ia sebahagian daripada warisan Pulau Pinang tetapi akan dibina semula dan saiznya akan lebih kecil daripada 16 ekar kepada 13 ekar.

“MRTC telah bentangkan kaedah untuk pembangunan itu yang telah mengambil kira pandangan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), supaya sebahagian Tapak Pesta dikekalkan memandangkan ia satu warisan Negeri Pulau Penang dan reka bentuk itu akan ditentukan nanti,” katanya.

Projek LRT Laluan Mutiara meliputi jajaran sepanjang 29.5 kilometer (km), merangkumi 21 stesen di lokasi-lokasi yang strategik, termasuk satu stesen provisional di Pulau Reklamasi Selatan Pulau Pinang atau Penang South Reclamation Island-A (PSR-A).

Dijangka beroperasi pada 2031, LRT Laluan Mutiara itu juga menyaksikan sambungan stesen terminus dari KOMTAR ke Penang Sentral, meningkatkan kesalinghubungan penduduk di kedua-dua belah Selat Pulau Pinang.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2401630