SHAH ALAM, 12 Mac (Bernama) -- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi hari ini secara rasmi menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Shah Alam pada pemilihan bulan hadapan.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor itu berkata keputusan berkenaan dibuat untuk memastikan PKR Shah Alam lebih agresif menjaga kesemua 15,000 ahli termasuk di DUN Batu Tiga melalui kepimpinan baharu yang dinamik, segar serta berkesan.
"Kalau kita lihat Keadilan Shah Alam suatu ketika dahulu ialah cabang yang dihormati, kuat dan diibaratkan kalau tumbangnya Shah Alam, maka akan tumbanglah Selangor.
“Jadi, kita lihat di Cabang Shah Alam sekarang ini, ada keperluan untuk kita menawarkan barisan kepimpinan baharu yang lebih segar, tidak lesu yang pada masa sama boleh tawarkan khidmat lebih efektif kepada rakyat dan parti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Iftar Kota Anggerik dan Sambutan Hari Wanita Sedunia di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam di sini hari ini.
Kerusi Ketua Cabang PKR Shah Alam disandang oleh Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail yang sebelum ini mengesahkan untuk mempertahankan kerusi berkenaan selain bekas Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor itu juga dilaporkan akan mencabar Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek untuk jawatan Ketua Wanita PKR pada pemilihan parti peringkat pusat, Mei nanti.
Mohd Najwan berkata hasrat itu telah dimaklumkan dan mendapat restu Pengerusi PKR Selangor yang juga Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari selain turut mendapat reaksi positif beberapa pimpinan parti yang lain.
-- BERNAMA