KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Unity Group Holdings International Ltd yang disenaraikan di Hong Kong menyasarkan pengurangan 25 juta tan pelepasan karbon dioksida (CO2) di Malaysia melalui projek-projek kemampanannya.
Ia berkata inisiatif itu bukan sahaja mengukuhkan penerimaan kredit karbon global, tetapi juga mempercepatkan peralihan ke arah ekonomi rendah karbon.
"Dengan semakin meningkatnya keperluan untuk memerangi perubahan iklim, syarikat mengukuhkan peranannya dalam memajukan penyelesaian kemampanan global," katanya dalam satu kenyataan.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Unity Group Mansfield Wong berkata syarikat itu percaya dengan kekuatan tindakan secara kolektif, yang mendorongnya mencipta penyelesaian yang menetapkan piawaian baharu untuk industri.
"Kita mesti bertindak sekarang dan bertindak secara bersama. Misi kami adalah untuk beralih daripada pemanasan global kepada penyejukan global melalui inovasi, kerjasama, dan tindakan iklim yang bermakna," katanya.
Diperkenalkan di Persidangan Hari Kredit Karbon Antarabangsa, program Perintis Hijau Unity Group menumpukan kepada mengurangkan kesan alam sekitar dengan pencahayaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang cekap tenaga ultra tinggi.
Ia menampilkan pencahayaan ESG yang sangat cekap tenaga menggunakan 75 peratus kurang tenaga berbanding diod pemancar cahaya (LED) standard, bertahan sehingga 40 tahun, dan mempunyai kadar kecacatan hanya 0.01 peratus, sekali gus merevolusikan kecekapan tenaga.
-- BERNAMA