SUKAN

Bunga Raya 7s Lelaki, Wanita Terima Tajaan RM200,000 Hadapi Sukan SEA 2025

08/07/2025 04:13 PM

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Skuad ragbi tujuh sepasukan (7s) lelaki dan wanita negara menerima suntikan semangat apabila Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) menyalurkan tajaan berjumlah RM200,000 bagi menyokong persiapan menghadapi Sukan SEA 2025 di Thailand, Disember ini.

Tajaan itu disalurkan kepada Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) sebagai sokongan kepada program latihan dan pembangunan kedua-dua pasukan kebangsaan menjelang temasya dwitahunan itu yang dijadualkan berlangsung pada 9 hingga 20 Dis.

Presiden KRM Amir Amri Mohamad berkata sumbangan tersebut akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkukuh skuad Bunga Raya 7s yang akan menyertai beberapa kejohanan antarabangsa sebagai sebahagian daripada persiapan ke temasya edisi ke-33 itu.

“Tajaan ini merupakan satu sejarah baharu bagi pasukan Bunga Raya 7s...sebenarnya kami terkejut dengan penajaan ini kerana kita tahu Yamaha lebih (sinonim) dengan sukan pemotoran.

“Seperti saya maklumkan tajaan ini akan digunakan khusus bagi persiapan pasukan Bunga Raya 7s lelaki dan wanita, tidak akan digunakan untuk pasukan lain,” katanya pada sidang media Majlis Penajaan Rasmi Antara HLYM dan KRM di Kompleks Hong Leong Yamaha di Sungai Buloh, hari ini.

Turut hadir barisan kejurulatih dan pegawai serta pemain Bunga Raya 7s lelaki dan wanita.

Sementara itu, Pengarah Urusan HLYM Profesor Datuk Dr Jim Khor berkata tajaan itu merupakan permulaan kepada kerjasama antara HLYM dan KRM demi perkembangan sukan ragbi mahupun pemotoran di Malaysia.

Beliau juga berharap sumbangan itu dapat membantu keperluan penting pasukan termasuk latihan, pemakanan dan elaun atlet menjelang temasya Sukan SEA.

Skuad ragbi 7s lelaki negara sebelum ini meraih pingat perak pada Sukan SEA 2015 di Singapura dan menebus kehampaan dengan emas ketika menjadi tuan rumah pada edisi 2017, sebelum sekali lagi membawa pulang perak di Filipina pada 2019.

Acara itu tidak dipertandingkan pada edisi 2021 (Vietnam) dan 2023 (Kemboja).

Pasukan wanita pula meraih gangsa pada edisi 2017 dan 2019.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2442667