SUKAN

Pemain Warisan Dalam Radar KRM

08/07/2025 05:04 PM

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) kini dalam usaha mengenal pasti pemain warisan yang berpotensi untuk memperkuatkan skuad kebangsaan pada masa akan datang.

Presidennya Amir Amri Mohamad berkata cadangan ke arah penggunaan pemain warisan telah dibangkitkan oleh penggiat serta peminat sukan itu dan KRM bersikap terbuka terhadap kemungkinan tersebut.

“Memang ada usaha. Perkara ini dilontarkan oleh penggiat dan peminat ragbi dan kita akan lihat dari semasa ke semasa. Dari segi kedudukan kewangan dan kemampuan KRM, insya-Allah kita akan cuba laksanakan.

“Buat masa ini, memang ada usaha-usaha awal untuk kita kenal pasti dahulu pemain warisan yang boleh beraksi untuk Malaysia,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penajaan Rasmi Antara Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) dan KRM di Kompleks Hong Leong Yamaha di Sungai Buloh, dekat sini, hari ini.

Penggunaan atlet warisan bukanlah perkara baharu dalam sukan negara, khususnya bola sepak yang telah lama menggunakan pendekatan itu bagi memperkuat skuad Harimau Malaya.

Bulan lepas, Akuatik Malaysia (MAS) memaklumkan sedang memperhebat usaha mengenal pasti dan merekrut perenang warisan bagi memperkukuh skuad kebangsaan menerusi pendekatan yang turut digunakan Singapura.

Terdahulu, pada majlis hari ini HLYM menyalurkan tajaan bernilai RM200,000 kepada KRM bagi mempersiapkan skuad ragbi tujuh sepasukan (7s) lelaki dan wanita negara menjelang Sukan SEA 2025 di Thailand dari 9 hingga 20 Dis depan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2442742